
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Melaka, E Sundra Rajan berkata lelaki berusia 48 tahun itu tertarik dengan iklan penjualan yang menawarkan kereta berkenaan dengan harga RM17,800 ketika melayari laman Facebook pada 29 Mac lepas.
“Mangsa telah berhubung dengan suspek iaitu seorang wanita dan bersetuju untuk membeli kereta keluaran tahun 2016 itu.
Mangsa kemudian diminta membuat bayaran atas pelbagai alasan seperti pembayaran permit import (AP), kastam dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sundra Rajan berkata, mangsa tanpa curiga membuat 59 transaksi pindahan wang berjumlah RM223,220 dari 13 April hingga 19 Mei lepas secara dalam talian ke 15 akaun bank berbeza yang diberikan suspek.
Lebih malang apabila pembayaran itu menggunakan wang simpanan sendiri selain mangsa turut meminjam daripada ahli keluarga serta rakan untuk melunaskannya.
Katanya, mangsa akhirnya menyedari diperdaya kerana masih belum menerima kenderaan yang dibeli sehingga kini seterusnya membuat laporan polis di Balai Polis Kandang, semalam.
Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
“Hasil semakan polis menerusi laman sesawang ke atas satu daripada nombor akaun yang digunakan oleh suspek turut menemukan sembilan laporan polis yang menggunakan modus operandi sama,” katanya.
Justeru, orang ramai dinasihatkan sentiasa berhati-hati dengan tawaran penjualan kenderaan secara dalam talian.
Orang ramai boleh menyemak nombor telefon atau nombor akaun meragukan menerusi laman sesawang atau memuat turun aplikasi Check Scammers CCID di Google Playstore untuk mengelak ditipu.