Skandal tanah LGM, SPRM panggil bekas pengerusi siasat dakwaan, kata ketua pesuruhjaya

Skandal tanah LGM, SPRM panggil bekas pengerusi siasat dakwaan, kata ketua pesuruhjaya

Azam Baki berkata, siasatan berhubung isu itu sedang dijalankan pegawainya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata pihaknya menerima aduan isu itu dan akan memanggil bekas pengerusi LGM.
PETALING JAYA:
Bekas Pengerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM), Ahmad Nazlan Idris akan dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menjelaskan pendedahannya mengenai isu LGM Properties Corporation (LGMPC).

Ketua Pesuruhjayanya, Azam Baki berkata siasatan berhubung isu itu sedang dijalankan pegawainya.

“SPRM ada menerima aduan berkaitan isu ini dan sedang menjalankan siasatan.

“SPRM juga akan memanggil bekas pengerusi (LGM) untuk mendapatkan maklumat lanjut daripada beliau,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Sebelum ini, tular di media sosial berkenaan isu penjualan dan pajakan tanah perdana LGM di bawah harga pasaran.

Ahmad Nazlan yang juga Ahli Parlimen Jerantut semalam tampil memberi penjelasan dan menafikan terbabit dalam isu berkenaan serta sedia disiasat SPRM.

“Harus saya tekankan segala tuduhan terhadap diri saya tidak benar dan saya sudah cuba bersama dengan Ahli Lembaga Pengarah yang lain menjalankan tugas dengan penuh integriti.

“Saya mendapat kerjasama sepenuhnya dari Ahli Lembaga Pengarah LGM dan mereka sangat komited dan bertanggungjawab dalam hal perancangan dan pengurusan,” katanya dalam kenyataan.

Dalam isu sewaan tanah 70 sen sekaki, Ahmad Nazlan menjelaskan, LGM hanya bersetuju untuk pajakan lima tahun dan ditambah 10 tahun, namun Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Mohd Khairuddin Aman Razali, mahukan 5+10+10 menjadikan 25 tahun.

Beliau turut mengesahkan tidak lagi menjadi Pengerusi LGM selepas ditamatkan kontrak pada 14 April lalu dan ditawarkan jawatan Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), namun ditolak.

Khairuddin didakwa membenarkan pajakan lot hartanah LGM di Jalan Ampang kepada Al-Noor Foundation, yayasan yang rapat dengan PAS, di bawah harga pasaran iaitu 70 sen per kaki persegi, sedangkan harga pasarannya dianggarkan RM2.50 per kaki persegi.

Kementerian itu juga dikatakan menjual tanah seluas 8.8 ekar, tanah warisan di Jalan Ampang pada harga RM1,032.92 per kaki persegi, di bawah harga pasaran (RM1,400 kaki persegi) kepada sebuah syarikat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.