Langgar motosikal hingga parah, pemandu lawan arus ditahan

Langgar motosikal hingga parah, pemandu lawan arus ditahan

Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku kerana pemandu kereta memandu dalam keadaan mengantuk menyebabkannya terbabas.

Tangkap layar video memaparkan sebuah kereta Perodua Axia berwarna perak dipandu secara melawan arus selepas dipercayai melanggar sebuah motosikal.
JOHOR BAHRU:
Polis menahan seorang lelaki selepas satu video kemalangan yang menunjukkan sebuah kereta Perodua Axia berwarna perak dipandu secara melawan arus selepas dipercayai melanggar sebuah motosikal, menjadi tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Mohd Sohaimi Ishak berkata pemandu lelaki berumur 27 tahun itu ditahan di kediamannya di Taman Kota Masai pada kira-kira pukul 5.30 petang semalam, dan siasatan mendapati lelaki itu tidak mempunyai lesen memandu.

Beliau berkata kemalangan dipercayai berlaku semasa penunggang motosikal berusia 34 tahun sedang menunggang dari arah Kota Masai 2 menghala ke Jalan Jambu, tiba-tiba sebuah kereta Perodua Axia dari laluan bertentangan telah masuk ke laluan penunggang motosikal itu lalu melanggarnya.

“Akibat pelanggaran, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah patah di bahagian kaki kanan dan kini menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurutnya siasatan awal juga mendapati kemalangan dipercayai berlaku kerana pemandu kereta memandu dalam keadaan mengantuk menyebabkannya terbabas sebelum melanggar penunggang motosikal, dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.