
Chong berkata, membenarkan golongan itu disuntik vaksin tanpa janji temu akan mempercepatkan proses mencapai imuniti kelompok, selain memastikan perlindungan untuk mereka serta anak dikandungkan secepat mungkin.
“Tolonglah mudahkan prosedur untuk wanita hamil membuat ‘walk in’ ke pusat vaksinasi atau klinik berhampiran mereka yang menawarkan suntikan vaksin Covid-19,” katanya.
“Sepatutnya ia dipermudahkan untuk kedua-dua pihak, sama ada wanita terlibat atau pusat vaksinasi kebangsaan.”
Chong berkata beliau dihampiri beberapa pihak menyuarakan kebimbangan berhubung vaksinasi bagi wanita hamil, terutama yang berada dalam trimester kedua dan ketiga (dari 14 hingga 33 minggu kehamilan).
Beliau turut memetik laporan media bulan lalu apabila Menteri Penyelaras PICK Khairy Jamaluddin berkata, hanya vaksin Pfizer dibenarkan untuk wanita dalam tempoh kehamilan itu, manakala yang lain perlu menunggu sehingga selepas bersalin sebelum menerima vaksin.
Khairy turut berkata telah meminta Pasukan Pengurusan Bertindak Imunisasi (CITF) untuk menyelaraskan dengan pihak hospital serta pakar bagi melakukan persiapan sewajarnya bagi membolehkan wanita hamil diberi keutamaan menerima vaksin Pfizer.
FMT baru-baru ini melaporkan satu kempen telah dilancarkan menggesa garis panduan jelas berhubung vaksinasi untuk wanita hamil, yang turut disokong ahli Parlimen seperti Yeo Bee Yin serta Teo Nie Ching.
Liyana Helmy Had yang melancarkan petisyen itu, mempertikaikan bagaimana wanita hamil akan dikenal pasti mengikut program PICK kerana aplikasi MySejahtera tidak memerlukan pengguna mengisytiharkan jika mereka mengandung.
Khairy kemudian mengumumkan ciri baharu akan ditambah kepada MySejahtera bagi mengenal pasti wanita hamil serta menyusukan anak, bagi memastikan mereka diberikan vaksin Covid-19 yang dicadangkan.
Menurutnya, ini akan memastikan wanita yang menyusukan anak mereka boleh menerima sama ada Pfizer atau AstraZeneca, manakala mereka yang hamil hanya disuntik Pfizer.