Rai Hari Gawai dengan berhati-hati, patuh SOP, kata Abang Johari

Rai Hari Gawai dengan berhati-hati, patuh SOP, kata Abang Johari

Beliau berkata ini merupakan tahun kedua Hari Gawai tdiraikan dalam keadaan yang amat terhad disebabkan pandemik Covid-19.

Abang Johari Tun Openg menyeru rakyat Sarawak supaya menyambut Hari Gawai secara berhati-hati dan sentiasa mematuhi SOP. (Gambar Bernama)
KUCHING:
Ketua Menteri Abang Johari Tun Openg menyeru rakyat Sarawak agar merayakan Hari Gawai secara berhati-hati dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) walaupun semasa bersama ahli keluarga terdekat sebagai usaha memutuskan rantaian penularan Covid-19.

Beliau berkata, ini merupakan tahun kedua Hari Gawai terpaksa diraikan dalam keadaan yang amat terhad disebabkan pandemik Covid-19 yang sedang melanda negara dan seluruh dunia.

Katanya, keadaan itu menyedihkan kerana ramai yang tidak dapat merayakannya bersama keluarga dan sahabat handai di kampung atau rumah panjang.

“Saya mohon ampun dan maaf kepada saudara dan saudari yang tidak dapat kembali ke kampung halaman dan rumah panjang masing-masing, atau ‘pulai ke menua’, kerana larangan rentas negeri atau rentas zon yang dikenakan demi keselamatan kita semua daripada bahaya Covid-19,” katanya dalam perutusan Hari Gawai 2021.

Abang Johari berkata, sebagai langkah tambahan untuk menangani Covid-19 beliau mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri untuk tidak mengeluarkan lesen laga ayam yang menjadi acara tradisi setiap kali perayaan itu untuk mengurangkan ruang bagi jangkitan terus menular pada sambutan kali ini.

“Langkah seperti ini mungkin tidak popular tetapi hendaklah dikenakan supaya rakyat kita lebih selamat.

“Sebelum ini, arahan supaya ziarah hari raya untuk satu hari sahaja juga keputusan yang tidak popular dalam kalangan masyarakat Islam, namun perlu dilaksanakan supaya keadaan dapat dikawal,” katanya.

Abang Johari turut memberi jaminan kerajaan negeri akan melakukan segala yang terdaya bagi menangani pandemik Covid-19.

Katanya, dan Mei lepas, Sarawak membelanjakan RM242 juta melibatkan perbelanjaan kuarantin, bekalan makanan, logistik, peralatan dan sebagainya.

“Kerajaan GPS (Gabungan Parti Sarawak) melakukan yang terbaik untuk rakyatnya ketika negeri dan negara dilanda pandemik Covid-19.

“Berani saya menyatakan bahawa tiada negeri yang memperuntukkan bantuan khas sebanyak yang diperuntukkan di bawah BKSS (Bantuan Khas Sarawakku Sayang) 1.0 hingga 5.0 berjumlah RM2.6 bilion,” katanya.

Di samping itu, Abang Johari juga mengajak masyarakat Dayak supaya berusaha ke arah perpaduan kaum seiring dengan masyarakat lain dalam mengejar impian untuk menjadi sebuah masyarakat yang maju dan progresif.

“Pemimpin Dayak terdahulu berjuang untuk menjadikan Gawai Dayak sebagai platform penyatuan dan identiti kaum Dayak.

“Oleh itu, saya berharap masyarakat Dayak akan terus merapatkan barisan, terutamanya golongan muda berusaha ke arah perpaduan selari dengan impian pemimpin terdahulu,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.