Lelaki pakai gelang kuarantin keluar beli air dikompaun RM4,000

Lelaki pakai gelang kuarantin keluar beli air dikompaun RM4,000

Lelaki terbabit memandu sendiri kereta dari rumahnya yang terletak berhampiran sebuah kedai runcit, tetapi tidak masuk ke dalam premis berkenaan.

Seorang lelaki memakai gelang merah jambu keluar rumah untuk membeli minuman di sebuah kedai di Jempol, Negeri Sembilan.
PETALING JAYA:
Seorang lelaki yang gagal mematuhi perintah kuarantin selepas keluar rumah untuk membeli minuman di kedai dikenakan kompaun RM4,000, kata Ketua Polis Daerah Jempol, Hoo Chang Hook.

Terdahulu, gelagat lelaki berusia 53 tahun yang memakai gelang merah jambu itu disedari orang ramai sebelum menghubungi polis.

Hoo berkata, polis bertindak terus ke lokasi yang dilaporkan sebelum menahan lelaki berkenaan di sebuah kedai di Taman ACBE, Jempol di Negeri Sembilan.

Beliau berkata, lelaki terbabit memandu sendiri kereta dari rumahnya yang terletak berhampiran kedai runcit berkenaan namun tidak masuk ke dalam premis itu.

“Berikutan itu lelaki yang menjalani kuarantin bermula Khamis lalu sehingga 6 Jun ini dikompaun RM4,000 kerana gagal mematuhi perintah yang dikenakan ke atasnya,” kata beliau menurut laporan Harian Metro.

Kata beliau, individu yang dikuarantin diwajibkan berada di rumah dan tindakan tegas akan diambil sekiranya didapati keluar walaupun untuk ke kedai.

Hoo juga berkata, berikutan pelaksanaan fasa pertama sekatan pergerakan penuh, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol akan mengadakan pemantauan di hadapan Taman Sornam bermula esok.

Katanya, ia bertujuan mengurangkan pergerakan keluar masuk orang ramai ke dalam daerah Jempol , khususnya ke bandar Bahau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.