
Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA), Mohamad Ashfar Ali berkata ini kerana kebanyakan pengusaha membeli bas menerusi pembiayaan syarikat kredit yang tidak terbabit dalam program moratorium dilaksanakan kerajaan dan institusi perbankan.
“Ribuan pengusaha bas di negara ini terpaksa menanggung beban hutang mencecah jutaan ringgit setiap bulan, kerana tidak layak menerima moratorium penangguhan bayaran balik pinjaman pembelian kenderaan ketika moratorium pertama kali ditawarkan pada tahun lalu.
“Ini menyebabkan ramai pengusaha bas ‘mati’ dan terpaksa menyerahkan semula bas kepada syarikat kredit,” katanya kepada FMT.
Moratorium diumumkan kerajaan pada fasa pertama ‘lockdown’ tahun lalu tidak terpakai kepada pengusaha bas yang kebanyakannya tidak membuat ‘pinjaman’ menerusi institusi perbankan.
Ashfar berkata, ini kerana institusi kewangan tidak menawarkan pinjaman ke atas syarikat bas dengan alasan pembiayaan seperti itu berisiko tinggi sehingga kebanyakan pengusaha bas meminjam daripada syarikat kredit.
FMT difahamkan, ansuran bulanan sebuah bas persiaran mencecah kira-kira RM5,000 setiap bulan.
Syarikat kredit komuniti tidak bernaung di bawah Bank Negara Malaysia atau Kementerian Kewangan, sebaliknya di bawah bidang kuasa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Mengulas lanjut, beliau berkata, semasa “lockdown” Mac tahun lalu, pihak persatuan sudah pun merayu kepada KPKT supaya memberi “kata dua” kepada agensi kredit agar memberikan moratorium automatik kepada pengusaha bas.
“Namun, sehingga tamat perintah berkurung, tiada kata putus dari pihak kementerian mahupun syarikat agensi kredit dan sehingga kini masing-masing berdiam diri,” katanya.
Ketika mengumumkan pakej bantuan Pemerkasa Tambahan (Pemerkasa +), Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata, skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas dan Teksi bernilai RM1 bilion itu, melayakkan pengusaha bas dan teksi mendapatkan moratorium pinjaman sehingga 12 bulan dan melanjutkan tempoh pinjaman sehingga 36 bulan.