
Dua lelaki berusia 25 dan 34 tahun itu ditahan pada 6.30 petang selepas anggota polis meragui nombor siri pada borang dikemukakan mereka, kata Ketua Polis Daerah Bentong Zaiham Mohd Kahar.
Anggota bertugas yang turut meragui kesahihan cap dan tandatangan ketua balai yang didakwa meluluskan borang itu kemudian menghubungi balai polis terbabit.
“Semakan mengesahkan nombor siri itu tidak wujud selain polis di balai berkenaan tidak pernah menerima permohonan daripada kedua-dua lelaki tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini, seperti dilaporkan Bernama.
Kedua-dua lelaki tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 22(D) Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
“Pemeriksaan lebih ketat akan terus dilakukan di sempadan daerah ini sama ada dari Selangor atau Negeri Sembilan bagi memastikan penularan wabak Covid-19 di Pahang dapat dikawal,” kata Zaiham.
Setakat semalam, tujuh individu telah ditahan di SJR Bentong bagi membantu siasatan memalsukan borang rentas negeri, tambahnya.