KDN cadang heret ke mahkamah jika ‘degil’ langgar SOP berulang, rentas negeri tanpa izin

KDN cadang heret ke mahkamah jika ‘degil’ langgar SOP berulang, rentas negeri tanpa izin

Tindakan drastik dan lebih tegas perlu dilakukan bagi memastikan semua patuh SOP, sekali gus bendung kes Covid-19 daripada terus meningkat.

Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin, berkata tindakan drastik itu terpaksa diambil bagi memastikan pelaksanaan PKP penuh mulai 1 Jun membuahkan hasil.
PUTRAJAYA:
Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi amaran akan mengheret mana-mana individu ke mahkamah jika masih berdegil melanggar SOP dan cuba merentas sempadan negeri serta daerah tanpa kebenaran apabila perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh berkuat kuasa, 1 Jun ini.

Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin, berkata kerajaan terpaksa mengambil drastik itu bagi memastikan pelaksanaan PKP penuh selama 14 hari dari 1 hingga 14 Jun ini membuahkan hasil dan berjaya mengawal kadar penularan Covid-19 di Malaysia.

“Kita akan bawa ke mahkamah sekiranya degil dan tak mahu membayar kompaun, (melakukan) kesalahan berulang (ingkar SOP)…tiada jalan lain…hukuman (mahkamah),” katanya pada sidang media khas selepas mempengerusikan mesyuarat khas ‘Total Lockdown’ Sektor Ekonomi dan Sosial di bawah KDN di Putrajaya hari ini.

Pada masa sama, Hamzah menasihatkan rakyat Malaysia supaya tidak mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung halaman masing-masing sempena cuti sekolah bermula hari ini bagi mengelak mereka terkandas di sana selepas ‘total lockdown’ dikuatkuasakan Selasa ini.

Hamzah Zainudin.

Hamzah berkata golongan yang cuba pulang ke kampung halaman terutama ke negeri Pantai Timur sempena cuti hujung minggu tidak akan terlepas kerana pihak berkuasa memperketatkan penguatkuasaan dan pemeriksaan menjelang pelaksaanaan PKP penuh nanti.

“Kita ada polis dan agensi penguat kuasa di merata tempat selain di SJR. Kalau dia tak nak tengok muka polis dari Gombak ke Larut contohnya tiada perbezaannya kerana ‘lockdown’ serentak seluruh negara. Lebih baik duduk di rumah masing-masing patuh SOP.

“Kalau kamu nak cari jalan kali ini lari dari polis, ‘You could win this time, but you could be a loser next time’ (anda mungkin terlepas kali ini tetapi terkena kemudian).

“Sama-samalah amalkan disiplin diri, lebih baik mematuhi SOP elak tindakan tegas dari polis dan menyusahkan diri sendiri dan semua,” katanya.

Dalam pada itu, Hamzah berkata keputusan mukmatad mengenai sektor mana akan dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh 14 hari ‘total lockdown’ berlangsung akan diumumkan sama ada oleh Menteri Kanan Pertahanan Ismail Sabri Yaakob selaku orang bertanggungjawab terhadap pelaksanaan PKP penuh atau Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam masa terdekat.

“Saya juga secara peribadi berpandangan kerajaan akan terus memberi kebenaran kepada beberapa kategori individu untuk merentas negeri apabila PKP penuh mula dikuatkuasakan mulai 1 Jun nanti iaitu pasangan jarak jauh (PJJ), individu yang kematian ahli keluarga terdekat, masalah kesihatan dan kecemasan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.