‘Benda’ boleh bincang kenapa perang di media, Amirudin jawab pertikaian CITF-SELangkah

‘Benda’ boleh bincang kenapa perang di media, Amirudin jawab pertikaian CITF-SELangkah

Amirudin berkata, beliau dengan Khairy akan mengadakan pertemuan esok bagi memastikan gerak kerja lebih mantap dalam memastikan semua rakyat mendapat vaksin.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata, pertikaian antara CITF dan SElangkah hanyalah salah faham dan tidak sepatutnya diperdebatkan dalam media.
PETALING JAYA:
Selepas berlaku “serang menyerang” antara Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) dan pengendali aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) yang dibangunkan oleh kerajaan Selangor berhubung dakwaan salah faham mengenai tempahan slot vaksin AstraZeneca sehingga menimbulkan kekeliruan, Menteri Besar, Amirudin Shari tampil mengendurkan keadaan.

Beliau berkata, pertikaian antara CITF dan SElangkah hanyalah salah faham dan tidak sepatutnya diperdebatkan dalam media.

“Benda boleh bincang kenapa nak ‘war’ (perang) di media,” katanya di Twitter.

Amirudin berkata, beliau telah berkomunikasi dengan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin dan akan mengadakan pertemuan esok bagi memastikan gerak kerja lebih mantap dalam memastikan semua rakyat mendapat vaksin.

“Saya baru berkomunikasi dengan YB Khairy. Kenyataan CITF dan SELangkah terdapat salah faham dalam kenyataan semalam.

“Esok beliau (Khairy) undang saya bertemu untuk selaras gerak kerja yang lebih padu di hari muka,” katanya.

Semalam CITF berkata, insiden sebilangan individu yang diberikan janji temu bagi vaksin AstraZeneca walaupun tidak pernah membuat tempahan berlaku disebabkan terdapat pihak lain membuat tempahan dalam jumlah yang banyak.

CITF berkata, tempahan itu juga dibuat tanpa persetujuan individu terbabit, termasuk tempahan dibuat melalui platform dalam talian SELangkah yang diperkenalkan oleh kerajaan Selangor.

SELangkah bagaimanapun menolak kenyataan itu dan dakwaan bahawa mereka terlibat dalam tempahan slot vaksin AstraZeneca sehingga mengakibatkan kekeliruan dan kemarahan orang ramai.

Ketua pegawai eksekutif SELangkah, Tengku Eista Tengku Alaudin berkata, dakwaan dilemparkan CITF tidak mempunyai asas sama sekali dan mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.