
“Saya tidak fikir orang ramai perlu bimbang atau panik berhubung perkara ini. Kesilapan itu jarang berlaku,” katanya kepada FMT.
“Saya percaya jika kurangan dos berlaku, ia tidak disengajakan. Pegawai perubatan yang bertanggungjawab di pusat pemvaksinan boleh memastikan ia tidak berulang. Ia tidak harus memberi kesan ke atas program imunisasi.”
Beliau mengulas dakwaan dos lebih rendah vaksin AstraZeneca diberikan di Pusat Dagangan Kuala Lumpur, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai pemberian dos lebih rendah.

Lee berkata, walaupun isu itu akan memberi kesan ke atas keyakinan orang ramai terhadap keberkesanan vaksin, namun ia tidak akan memberi kesan ke atas sasaran imuniti kelompok negara, yang melibatkan 80% penduduk menjelang akhir tahun ini.
Aduan berkaitan kurangan dos tular di media sosial pada 20 Mei selepas beberapa individu merekodkan detik mereka menerima suntikan vaksin AstraZeneca.
Individu terbabit menggunakan media berkenaan untuk menyuarakan kebimbangan bahawa mereka diberikan dos lebih rendah daripada 0.5ml yang diperlukan.
Dilaporkan seorang penerima vaksin terbabit diberikan suntikan kedua bagi mendapatkan dos optimum selepas aduan dibuat.
Susulan insiden tersebut, Kementerian Kesihatan (KKM) menjalankan siasatan berhubung perkara itu.
KKM juga mengeluarkan arahan baharu kepada petugas yang memberi bantuan di pusat pemvaksinan AstraZeneca supaya menunjukkan picagari sebelum dan selepas vaksin diberikan kepada penerima.
Semalam Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil menggesa siasatan yang telus dijalankan berhubung dakwaan itu dengan berkata, siasatan mesti dijalankan oleh pakar, bukannya mereka yang terlibat secara langsung dengan program vaksinasi.
Beliau juga menggesa dapatan siasatan didedahkan kepada orang ramai.