2 lelaki ditahan bersama 105kg syabu bernilai RM3.83 juta

2 lelaki ditahan bersama 105kg syabu bernilai RM3.83 juta

Siasatan awal mendapati semua dadah bernilai RM3.83 juta itu dipercayai untuk dibawa ke negara jiran.

Ketua Polis Pulau Pinang, Sahabudin Abd Manan. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah selepas menahan dua nelayan termasuk seorang warga Indonesia bersama 105kg syabu bernilai RM3.83 juta dalam serbuan ke jeti haram di Bagan Bukit Tambun, Simpang Ampat semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang Sahabudin Abd Manan berkata lelaki berusia 57 tahun dan pembantunya lelaki warga Indonesia berumur 36 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota polis dari Unit Risikan Marin (URM) Pasukan Polis Marin Wilayah Satu Pulau Pinang pada 4 petang.

“Bertindak hasil maklumat dan risikan, pasukan URM telah menyerbu kawasan jeti haram itu sebelum menahan dua lelaki dipercayai ahli rangkaian sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang bergiat aktif menjalankan kegiatan tersebut.

“Hasil pemeriksaan pasukan URM telah menemui sebuah bot fiber tidak bernombor yang ditambat di jeti di situ dan polis menemui 100 bungkusan plastik berwarna kuning kehitaman dipercayai bungkusan teh jenama ‘Guanyinwang’ yang mengandungi 105kg syabu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, siasatan awal mendapati semua dadah bernilai RM3.83 juta itu dipercayai untuk dibawa ke negara jiran dan Pulau Pinang dijadikan transit dadah syabu berkenaan yang disyaki dibawa masuk dari negara jiran.

Sahabudin berkata, siasatan mendapati sindiket itu telah mula aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak Mei tahun lepas dengan menggunakan laluan laut untuk mengedar dadah rentas negara dan mempunyai rangkaian sindiket di beberapa buah negara jiran.

Katanya polis turut menyita sebuah bot fiber dan enjin yang digunakan untuk menyimpan semua dadah berkenaan bagi mengelak dikesan pihak polis dan siasatan mendapati lelaki tempatan yang ditahan itu mempunyai rekod lampau berkaitan pengedaran dadah.

“Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan rangkaian sindiket pengedaran dadah itu yang dipercayai berada di sekitar negeri ini dan jumlah syabu dirampas tersebut boleh digunakan seramai 210,000 penagih dadah,” katanya.

Menurutnya kedua-dua suspek kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.