
Ahli Parlimen Labuan, Rozman Isli, berkata ketika ini banyak perkara yang membebankan rakyat Labuan perlu segera ditangani kerajaan terutama kadar inflasi dan kos sara hidup yang terus meningkat dengan “gilanya” di Labuan.
“Perlu ada skim subsidi pengangkutan dan subsidi ujian Covid-19.
“Kos ujian Covid-19 di klinik swasta mesti turun sekurang-kurangnya sama seperti di Kota Kinabalu iaitu RM80 untuk RTK-Ag atau RM200 untuk PCR, jika dibandingkan dengan Labuan ujian RTM-Ag adalah RM150 manakala PCR kosnya sebanyak RM500,” katanya dalam kenyataan.
Rozman berkata, Labuan ketika ini dalam perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) dengan SOP lebih ketat dan kerajaan mesti bersedia dengan peruntukan mencukupi untuk makanan dan bantuan lain kepada peniaga kecil sederhana termasuk pengusaha teksi, bas mini, e-hailing, dan lain-lain.
Katanya, bagi bantuan makanan termasuk mereka yang berada di pusat kuarantin, Perbadanan Labuan dan Kementerian Wilayah Persekutuan mesti mengambil tanggungjawab dalam memastikan kewangan mencukupi untuk operasi Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JKPB) Labuan.
“Selain itu, saya berharap tempoh pemberian diskaun kepada penyewa-penyewa premis dimiliki Perbadanan Labuan dipanjangkan, begitu juga dengan premis lain termasuk milik Ujana Kewangan supaya memberikan diskaun yang besar dan jangka masa yang cukup kepada penyewa-penyewa,” katanya.
Sementara itu, Rozman turut berpendapat proses vaksinasi dijalankan kerajaan ketika ini agak lembab dan perlu dipercepatkan.
Katanya, program vaksinasi nasional juga agak ketinggalan berbanding banyak negara lain.
“Masih ramai rakyat yang sudah mendaftar tetapi masih menunggu giliran dan saya juga ingin mengingatkan kepada mereka yang belum mendaftar di aplikasi Mysejahtera supaya segera berbuat demikian.
“Pandemik Covid-19 sudah melanda negara hampir satu tahun setengah. Selain kesihatan awam yang semakin terancam, sudah ramai rakyat yang terkesan teruk akibat kejatuhan ekonomi yang sangat dahsyat.
“Ramai yang kehilangan pekerjaan dan mata pencarian apabila perniagaan terpaksa ditutup atau dikecilkan,” katanya.