Dalam catatan di Facebook, beliau memaklumkan kerja-kerja membawa keluar tren berkenaan berjaya dilaksanakan lebih awal daripada tempoh tiga hari seperti dijanjikan selepas anggota pasukan “Recovery Rapid Rail” bekerja tiga shif tanpa henti.
“TR40 telah selamat sampai ke Subang depoh pada jam 3.45 pagi manakala TR81 pula telah sampai di Gombak tail track pada jam 4.51 pagi,” katanya.
Wee berkata, tumpuan pada hari ini adalah kerja-kerja pembaikan landasan dari dua stesen terbabit.
Justeru, katanya, pasukan khas itu akan menutup bekalan kuasa dari Stesen Dang Wangi ke Stesen Damai yang mana ia membabitkan lima stesen – Damai, KLCC, Ampang Park, Kampung Baru dan Dang Wangi.
“Sebaik saja kerja pembaikan selesai, pemeriksaan akan dibuat oleh pihak APAD (Agensi Pengangkutan Awam Darat) untuk mengesahkan tahap keselamatan penggunaan landasan tersebut,” katanya.
Bagi operasi LRT hari ini, Wee berkata, kesan daripada penutupan bekalan kuasa dan satu landasan masih ditutup selepas kejadian, akan berlaku “bottleneck” kerana hanya beroperasi dengan satu landasan dari Stesen Damai ke Stesen Pasar Seni yang membabitkan tujuh stesen.
“Akan tetapi, kaedah ‘platoon’ akan digunakan bagi dua tren memasuki landasan ke arah yang sama untuk mengurangkan kesan ‘bottleneck’,” katanya.
Wee turut memberi jaminan pihak Prasarana bertungkus-lumus membaiki landasan pada hari ini agar perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya dapat dipulihkan sepenuhnya dalam tempoh terdekat.
“Apabila landasan siap diperbaiki, tiada lagi kesan ‘bottleneck’ dan perkhidmatan LRT akan beroperasi pada tahap 50% kapasiti seperti yang disyaratkan sepanjang perintah kawalan pergerakan 3.0 dengan SOP diperketatkan sehingga 7 Jun tanpa mengurangkan frekuensinya,” katanya.
Isnin lalu, dua tren LRT bertembung dalam terowong di Laluan Kelana Jaya yang mengakibatkan 213 penumpang tercedera.
Enam mangsa dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dengan dua mangsa memerlukan pembedahan otak, manakala seorang lagi memerlukan rawatan resusitasi serebrum.