
Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Mohd Arief Emran Arifin membuat perintah itu semasa memutuskan taksiran ganti rugi yang diperoleh Lim pada prosiding secara dalam talian hari ini.
Peguam Simon Murali, yang mewakili Lim, ketika dihubungi berkata mahkamah memerintahkan Raja Petra membayar ganti rugi am dan teruk sebanyak RM600,000, serta kos RM10,000 kepada anak guamnya.
“Mahkamah juga memerintahkan defendan (Raja Petra) membayar faedah 5% setahun daripada tarikh pemfailan writ saman pada 6 Sept 2019 hingga penyelesaian penuh kes,” kata beliau.
Semasa prosiding taksiran ganti rugi pada 14 April lalu, Lim dalam keterangannya menuntut ganti rugi am sebanyak RM20 juta susulan penerbitan 20 artikel dalam versi Bahasa Inggeris dan Melayu oleh portal Malaysia Today milik Raja Petra bermula Februari 2019.
Setiausaha Agung DAP itu juga menuntut ganti rugi teruk dan teladan masing-masing berjumlah RM500,000.
Pada 28 Feb tahun lalu, Lim, 61, memperoleh penghakiman ingkar selepas Raja Petra tidak memasukkan kehadiran bagi menjawab saman yang dikemukakan terhadapnya.
Lim memfailkan permohonan bagi mendapatkan penghakiman ingkar selepas Raja Petra gagal memberi maklum balas terhadap notis saman yang diiklankan melalui tiga akhbar pada 10 Feb 2020.
Sebelum itu, Lim cuba menyerahkan writ saman dan penyataan tuntutan kepada Raja Petra melalui perkhidmatan peribadi di alamat terakhir penulis blog tersebut yang diperoleh daripada Jabatan Pendaftaran Negara dan Suruhanjaya Pilihan Raya namun gagal.
Lim memfailkan saman fitnah berhubung penerbitan satu siri artikel “Dari Fail SPRM” dalam versi Bahasa Inggeris dan Melayu oleh Malaysia Today antara 24 Feb dan 15 Mac 2019.