Polis lupus RM2.02 juta mercun, bunga api

Polis lupus RM2.02 juta mercun, bunga api

Polis turut menahan lima suspek di Johor Bahru Utara, seorang di Iskandar Puteri dan empat di Kluang.

Polis melupus mercun dan bunga api bernilai RM2.024 juta yang dirampas dalam lapan kes di tiga daerah di Johor. (Gambar Polis Johor)
JOHOR BAHRU:
Mercun dan bunga api bernilai RM2.024 juta yang dirampas dalam lapan kes di tiga daerah Johor dilupuskan selepas selesai proses siasatan dan pendakwaan, kata Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay.

Beliau berkata, 10 suspek berusia 27 hingga 50 tahun turut ditahan di Johor Bahru Utara (lima), Iskandar Puteri (seorang) dan Kluang (empat).

“Johor Bahru Utara membabitkan lima kes dengan nilai rampasan tertinggi, iaitu RM1.6 juta, diikuti satu kes di Iskandar Puteri (RM394,800) dan Kluang membabitkan dua kes dengan rampasan berjumlah RM30,000,” katanya dalam kenyataan.

Ayob berkata, semua kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 74 Peraturan-peraturan Bahan Letupan 1957.

“Pada dasarnya, polis membenarkan penjualan 36 jenis bunga api daripada 44 jenis “Happy Boom” dan “Pop-pop” yang diluluskan Kementerian Dalam Negeri untuk musim perayaan di negara ini.

“Namun begitu, terdapat tiga larangan untuk aktiviti penjualan semua jenis bunga api, iaitu menjual kepada pembeli berumur di bawah 18 tahun, urus niaga dalam talian atau sebarang aplikasi media sosial dan penjualan oleh pengusaha restoran atau kedai makan.”

Katanya, peniaga dikehendaki mematuhi semua peraturan, iaitu mendapatkan kebenaran seperti permit, lesen, kupon atau surat rasmi berniaga daripada polis dan pihak berkuasa tempatan serta mempunyai tempat penyimpanan yang diperakui selamat oleh bahagian persenjataan polis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.