
Beliau berkata, langkah itu sejajar usaha kerajaan melindungi petugas barisan hadapan, termasuk guru dan pengamal media yang berisiko dijangkiti ketika membuat liputan di lapangan.
“Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) dengan kerjasama Jabatan Penerangan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta persatuan wartawan di Semenanjung Sabah dan Sarawak mengumpul 5,867 pengamal dan petugas media daripada 144 agensi media berdaftar,” katanya pada sidang media.
Katanya, CITF membuat keputusan untuk kerajaan memberikan janji temu kepada pengamal media secepat mungkin, selepas menerima semua butiran petugas media.
April lalu, Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJM) meminta penjelasan kerajaan dalam isu pemberian vaksin Covid-19 kepada pengamal media yang menjadi sebahagian daripada petugas barisan hadapan.
Presidennya, Farah Marshita Abdul Patah berkata, NUJM juga kesal dengan laporan terdapat kakitangan sebuah organisasi media swasta tertentu dipercayai sudah disuntik vaksin Sinovac secara “senyap-senyap”.
Katanya, perkara itu secara tidak langsung memperlihatkan wujud ketirisan dalam soal pemberian vaksin, apatah lagi kebanyakan petugas portal berita dan media di bawah NUJM masih menunggu lampu hijau kerajaan.
Ibu hamil, menyusu
Khairy meminta ibu mengandung mendapatkan penerangan pakar perubatan dan doktor sebelum divaksin.
Bagaimanapun, katanya, ibu mengandung disyorkan divaksin dalam 14 hingga 33 minggu kehamilan.
Beliau berkata, satu ciri baharu akan diperkenalkan dalam aplikasi MySejahtera akhir minggu ini untuk wanita hamil dan ibu menyusu.
“Apabila ciri baharu ini dikeluarkan, ibu mengandung dan sedang menyusu bolehlah mengenal pasti diri mereka menerusi MySejahtera bagi membolehkan janji temu diberikan kepada mereka untuk menerima vaksin Pfizer yang disyorkan.”
Selang masa dos vaksin
Khairy berkata, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) akan membincangkan selang masa sesuai antara dua dos vaksin Pfizer dalam mesyuarat Khamis ini.
Katanya, langkah itu perlu susulan desakan selang masa pemberian vaksin dipanjangkan supaya lebih ramai penduduk di negara ini dapat divaksin.
“Ketika ini, selang masa untuk vaksin AstraZeneca adalah 12 minggu, manakala Pfizer selama tiga minggu.
“Terdapat cadangan supaya selang masa antara pemberian dos pertama dan kedua dipanjangkan bagi memastikan lebih ramai mendapat perlindungan berbanding sebahagian kecil yang mendapat perlindungan lengkap.”