Demo ‘Kerajaan Gagal’: 27 akan dituduh dalam masa terdekat

Demo ‘Kerajaan Gagal’: 27 akan dituduh dalam masa terdekat

Kertas siasatan sudah dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan Pejabat Peguam Negara.

Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, semua kertas siasatan berhubung kes tunjuk perasaan ‘Kerajaan Gagal’ sudah dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan Pejabat Peguam Negara (PPN). (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Semua 27 suspek yang ditahan berhubung tunjuk perasaan ‘Kerajaan Gagal’ pada malam Aidilfitri 13 Mei lalu di Parit Raja, Batu Pahat akan dituduh di mahkamah dalam masa terdekat.

Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, semua kertas siasatan sudah dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan Pejabat Peguam Negara (PPN).

“Semua 27 suspek ditahan akan kita tuduh. Ada tiga akta (bagi tuduhan terhadap suspek),” katanya pada sidang media.

Undang-undang berkenaan adalah Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit kerana berkumpul; serta 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan kerana pembakaran suar.

Sebelum ini, polis menahan 20 orang yang dipercayai terlibat dalam perhimpunan membabitkan pembakaran suar dan menaikkan kain rentang “kerajaan gagal” di Parit Raja, Batu Pahat, Johor.

Susulan itu, tujuh lagi tangkapan baharu dibuat bagi membantu siasatan.

Video dan gambar tunjuk perasaan berkenaan tular di media sosial.

Dalam perkembangan lain, polis menangkap tiga anggotanya yang berpangkat Lans Koperal daripada Pasukan Gerakan Am, kerana dipercayai terlibat melakukan pemerasan terhadap satu pasangan dalam kejadian di Pontian, Khamis lalu.

“Ketiga-tiga suspek ini menahan kenderaan dinaiki pasangan yang belum berkahwin ini dan meminta wang RM5,000 selain mengambil gelang dan cincin dipakai gadis terbabit supaya tidak dikenakan tindakan undang-undang atau dibawa ke jabatan agama.

“Susulan laporan dibuat pasangan ini, polis melancarkan operasi dan menangkap ketiga-tiga suspek berusia 27 hingga 33 tahun,” katanya.

Kes disiasat bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

Semua suspek dituduh di mahkamah pagi tadi dan masing-masing tidak mengaku bersalah. Mereka diperintahkan membayar jaminan RM7,000 setiap seorang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.