2 tokan ditahan bungkus, edar dadah di jirat Cina

2 tokan ditahan bungkus, edar dadah di jirat Cina

Suspek dicekup ketika leka membungkus heroin di sebuah jirat di tanah perkuburan Cina dekat Cheng, Melaka.

Dua tokan dadah itu direman tujuh hari bermula hari ini.
PETALING JAYA:
Polis menahan dua lelaki yang menjadikan sebuah tanah perkuburan Cina di Cheng, Melaka sebagai lokasi pembungkusan dan pengedaran dadah dalam satu serbuan semalam.

Kedua-duanya yang berusia 40 dan 42 tahun itu ditahan kira-kira 1 tengah hari Isnin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Melaka, Zulkiflee Rashid berkata, suspek dicekup ketika leka membungkus heroin di sebuah jirat di kawasan itu.

“Hasil pemeriksaan, kita menjumpai empat paket plastik lutsinar dipercayai dadah jenis heroin seberat 18g yang baru dibungkus suspek di jirat tersebut,” katanya dipetik Kosmo! hari ini.

Zulkiflee berkata, ketika disoal siasat, suspek mengakui baru menjadikan tanah perkuburan Cina itu “port” mengedar dadah kepada penagih setempat.

“Sebelum ini, mereka mendakwa mengedar di tapak pelupusan sampah di Krubong, namun terpaksa berpindah selepas pasukan polis selalu membuat serbuan.

“Suspek kemudian menjadikan jirat Cina itu lokasi baharu sejak beberapa hari lalu untuk mengelakkan kegiatan mereka dihidu polis.”

Hasil saringan ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif morfin dan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Katanya, suspek direman tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B serta Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.