
Berhujah menjawab kenyataan pembukaan pihak pendakwaan, peguam belanya Ahmad Zaidi Zainal dan Hamidi Mohd Noh berkata, 40 tuduhan itu sekadar ‘alat’ untuk mencemarkan nama baiknya.
“Beliau tidak mengambil kesempatan ketika menjadi menteri dalam negeri. Ultra Kirana Sdn Bhd tidak dilantik ketika anak guam kami memegang jawatan itu dari 2013 hingga 2018,” kata mereka.
Ultra Kirana adalah kontraktor yang dilantik untuk menguruskan sistem VLN serta pusat sehenti (OSC) di China.
Terdahulu, pendakwaan dalam kenyataan pembukaannya berkata, Zahid menerima habuan berkenaan untuk melanjutkan kontrak syarikat itu.
Pendakwaan berkata, sebagai menteri dalam negeri, Zahid telah mengambil kesempatan kedudukannya untuk “mengumpul kekayaan”.
Zahid dibicarakan atas 40 tuduhan rasuah, dengan didakwa menerima rasuah sebagai habuan untuk melanjutkan kontrak Ultra Kirana.
Zaidi dan Hamidi berkata, pihak pembelaan akan menangkis kenyataan saksi seterusnya menimbulkan keraguan terhadap kes pendakwaan.
Sementara itu, saksi pertama pendakwa, Penolong Pendaftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Muhammad Akmaludin Abdullah dalam keterangannya berkata, pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta dokumen berkaitan dengan Ultra Kirana pada Sept 2018.
Menurutnya, Ultra Kirana adalah syarikat yang terlibat dengan perkhidmatan kemudahan visa.
Akmaludin menamakan Tan Chuin Boon dan Fadzil Ahmad sebagai pengarah syarikat itu, manakala Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani serta dua syarikat, HRL Capital Sdn Bhd dan Seri Optima Sdn Bhd, memiliki saham dalam Ultra Kirana.
Perbicaraan di depan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Yazid Mustafa bersambung esok.