Sejumlah 166 penumpang lagi mengalami kecederaan ringan, kata Ketua Polis Dang Wangi, Mohd Zainal Abdullah.
Nahas itu berlaku antara stesen Kampung Baru dan KLCC. Dua tren LRT itu dipercayai berada di laluan sama, ketika kemalangan berlaku, kata Zainal.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati salah satu daripada tren tersebut rosak dan sedang dipandu uji.
Prasarana Malaysia mengesahkan nahas itu, susulan dakwaan di media sosial bahawa berlaku kemalangan melibatkan pertembungan dua kereta api.
Butiran penuh kejadian belum dapat disahkan, namun Prasarana mengesahkan kejadian melibatkan kereta api nombor 240 dan 181.
Gambar dan video yang tular di media sosial menunjukkan puluhan penumpang dengan luka berdarah.

Prasarana berkata, pasukan perubatan berada di tempat kejadian untuk merawat mangsa.
“Sila bertenang dan patuhi segala arahan. Pihak kami sedang berusaha secepat mungkin untuk memberi bantuan dan mengawal keadaan.
“Semua penumpang yang cedera telah dipindahkan ke platform. Bantuan kecemasan dan usaha menyelamat sedang dijalankan.
“Keutamaan kami adalah memastikan keselamatan semua penumpang kami,” kata jurucakap Prasarana.