Dakwa Nilai terletak di Selangor, polis siasat Facebook N9 Radar

Dakwa Nilai terletak di Selangor, polis siasat Facebook N9 Radar

Ia berikutan kenyataan yang dikeluarkan dalam Facebook berkenaan yang boleh mendatangkan kegentaran awam.

Ketua Polis Daerah Nilai Mohd Fazley Ab Rahman berkata siasatan melibatkan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian perkhidmatan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Polis memanggil pemilik Facebook N9 Radar untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai berikutan hantaran dalam laman Facebook berkenaan yang mendakwa Nilai 3 kini terletak dalam negeri Selangor.

Ketua Polis Daerah Nilai Mohd Fazley Ab Rahman berkata, kenyataan yang dikeluarkan di laman Facebook berkenan boleh mengakibatkan kegentaran awam.

“Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai telah memulakan satu siasatan berhubung kenyataan yang boleh menyebabkan kegentaran awam yang dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook N9 Radar.

“Siasatan diklasifkasikan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kegentaran awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian perkhidmatan,” katanya dalam kenyataan.

Media sebelum ini melaporkan, Pejabat Peguam Negara membuat keputusan tidak mengenakan tuduhan rentas negeri terhadap selebriti, Noor Neelofa Mohd Noor atau Neelofa dan suaminya, Muhammad Haris Mohd Ismail.

Pasangan terbabit Khamis lalu dituduh di Mahkamah Majistret Seremban atas kesalahan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Fazley sebelum ini dipetik berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan kajian dan keterangan yang diperoleh berhubung kes berkenaan.

“Isu rentas negeri membabitkan Neelofa dan suaminya tidak dibawa ke mahkamah selepas mengambil kira kajian dilakukan Pejabat Peguam Negara. Kajian dan keputusan itu telah dibuat terlebih dulu berdasarkan keterangan yang ada,” katanya.

Keadaan itu bagaimanapun menimbulkan kemarahan warganet yang kecewa kerana beranggapan seolah-olah berlaku pilih kasih dalam aspek penguatkuasaan membabitkan golongan kenamaan berbanding rakyat biasa.

Berikutan itu, netizen mengecam tindakan itu malah ada yang membuat sindiran di media sosial mendakwa Nilai 3 kini terletak di bawah negeri Selangor berikutan tiada pendakwaan dikenakan ke atas pasangan berkenaan kerana melakukan rentas negeri.

Fazley dalam kenyataannya hari ini turut menegaskan bahawa Nilai 3 terletak di bawah pentadbiran IPD Nilai dan bukannya dalam negeri Selangor.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.