Tempahan pusingan kedua AstraZeneca 12 tengah hari esok

Tempahan pusingan kedua AstraZeneca 12 tengah hari esok

Sebanyak 1.24 juta dos vaksin itu bagaimanapun dikhususkan untuk warga emas membabitkan Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Sarawak.

Tempahan slot vaksin AstraZeneca dibuka secara dalam talian mulai jam 12 tengah hari esok
PETALING JAYA:
Tempahan slot temu janji suntikan vaksin AstraZeneca akan dibuka semula secara dalam talian mulai 12 tengah hari esok.

Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 dalam kenyataan menjelaskan, slot kedua kali ini menawarkan sebanyak 1.24 juta dos yang dikhususkan kepada warga emas.

Pemberian suntikan bagi pusingan kedua akan dimulakan pada 7 Jun hingga 27 Julai untuk dos pertama di Pusat Pemberian Vaksin AstraZeneca (PPVAZ) yang ditetapkan seperti di bawah:

  • Setia SPICE Convention Centre, Pulau Pinang
  • Persada Johor International Convention Center, Johor Bahru
  • Borneo Convention Center Kuching, Sarawak
  • Institut Kemahiran Belia Negara Miri, Sarawak
  • World Trade Centre Kuala Lumpur
  • Universiti Malaya, Kuala Lumpur
  • Universiti Kebangsaan Malaysia, Selangor
  • Ideal Convention Centre, Shah Alam, Selangor

“Seperti yang telah diumumkan, tempahan ini hanya dibuka kepada warga emas (60 tahun ke atas) di lima negeri, iaitu di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Sarawak.

“Ini adalah salah satu langkah untuk memastikan warga emas yang termasuk dalam kumpulan berisiko tinggi terus dilindungi,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, mereka yang berminat boleh mula membuat tempahan di www.vaksincovid.gov.my mulai 12 tangah hari esok.

Jelas kenyataan itu, pada masa sama, CITF menggalakkan orang muda untuk membantu warga emas membuat tempahan untuk memudahkan urusan mereka.

“Mereka yang telah mendaftarkan nama bawah senarai menunggu sewaktu tempahan slot 2 Mei 2021 yang lepas akan dimasukkan secara automatik ke dalam tempahan slot vaksinasi AstraZeneca pusingan ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.