Tiada potongan elektrik untuk bil tertunggak kurang 6 bulan, kata menteri

Tiada potongan elektrik untuk bil tertunggak kurang 6 bulan, kata menteri

TNB sedia membantu pengguna domestik menguruskan pembayaran bil elektrik mereka menerusi Pelan Bayaran Mudah yang dilanjutkan sehingga 31 Disember 2021.

Kerajaan dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad inisiatif ini diperkenalkan bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat berikutan penularan pandemik Covid- 19 di negara ini.
PETALING JAYA:
Tiada pemotongan bekalan elektrik akan dibuat terhadap pengguna domestik yang mempunyai tunggakan bil elektrik kurang enam bulan sehingga 30 Jun 2021, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Shamsul Anuar Nasarah.

Beliau berkata, pengguna domestik juga ditawarkan Pelan Bayaran Mudah selama enam bulan mulai 1 Januari sehingga 30 Jun 2021 bagi membantu menguruskan bil elektrik mereka.

“Mengambil kira keperluan untuk meneruskan usaha membantu rakyat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, kerajaan dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad akan memastikan tiada pemotongan bekalan elektrik dilaksanakan di kediaman yang mempunyai tunggakan tidak melebihi 6 bulan sehingga 30 Jun 2021,” katanya dalam kenyataan.

Kata beliau, inisiatif ini diperkenalkan bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat berikutan penularan pandemik Covid- 19 di negara ini.

Tambah beliau, bagi membantu pengguna domestik menguruskan pembayaran bil elektrik mereka, program Pelan Bayaran Mudah juga turut dilanjutkan sehingga 31 Disember 2021.

“Melalui pelaksanaan inisiatif ini, adalah dianggarkan seramai 6.96 juta pengguna domestik di semenanjung memperoleh manfaat tersebut dan diharapkan inisiatif ini akan dapat membantu memelihara kesejahteraan hidup rakyat dalam keadaan ekonomi yang mencabar pada masa ini,” katanya.

Tahun lalu, Bantuan Prihatin Elektrik (BPE) tambahan diberikan kepada semua pengguna domestik di Semenanjung Malaysia iaitu diskaun secara sekali bayar (one-off) sehingga RM77 sebulan atau RM231 untuk tempoh tiga bulan pelaksanaan PKP, iaitu bagi penggunaan elektrik dalam bulan April, Mei dan Jun 2020.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.