Orang Asli Gua Musang mahu hantar memorandum bantah empangan Nenggiri kepada Putrajaya

Orang Asli Gua Musang mahu hantar memorandum bantah empangan Nenggiri kepada Putrajaya

Kumpulan itu juga menolak dakwaan kononnya 200 Orang Asli bersetuju berpindah dan memberikan laluan kepada projek empangan Nenggiri.

Pengerusi JKOAK Mustafa Along berkata, projek itu perlu dibatalkan kerana dibimbangi memusnahkan kawasan tapak warisan sejarah, hasil tanaman serta kawasan perkuburan nenek moyang.
PETALING JAYA:
Kumpulan Orang Asli Gua Musang akan menghantar memorandum bantahan kepada Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, serta Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) bagi membantah pembinaan empangan hidroelektrik Nenggiri di Kelantan.

Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK), Mustafa Along berkata, projek berkenaan perlu dibatalkan kerana dibimbangi akan memusnahkan kawasan tapak warisan sejarah seperti Gua Cha, sumber air, hasil tanaman, kawasan perkuburan nenek moyang, kawasan tanah adat dan laluan keluar masuk mereka.

“JKOAK juga akan terus membantah projek pembinaan empangan Nenggiri ini dan masih meneruskan kempen bantahan empangan tersebut.

“Sekiranya perlu, JKOAK juga tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang berhubung perkara ini,” katanya dalam kenyataan.

Kumpulan itu juga menolak dakwaan kononnya 200 Orang Asli bersetuju berpindah dan memberikan laluan kepada projek empangan Nenggiri.

“Tidak dinafikan, majoriti komuniti dari Pos Pulat dan Pos Tohoi bersetuju untuk berpindah, tetapi komuniti yang sebahagian wilayah tanah adat mereka akan ditenggelamkan dengan pembangunan projek itu tidak bersetuju. Setakat ini JKOAK berjaya mengumpulkan lebih 3,000 tandatangan bantahan,” katanya.

Terdahulu media memetik Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) sebagai berkata Orang Asli Gua Musang yang tinggal berhampiran Empangan Nenggiri bersetuju untuk berpindah ke penempatan baharu susulan perbincangan dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Pesuruhjaya Suhakam, Jerald Joseph berkata TNB sudah memberikan penjelasan penuh mengenai projek itu kepada Orang Asli pada pertemuan mereka dengan komuniti berkenaan.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Abdullah berkata, 1,115 penduduk Orang Asli yang terbabit dengan projek itu akan berpindah sebaik ia dimulakan nanti.

Katanya, kerja-kerja awal akan bermula pada Mac 2022 membabitkan pembinaan penempatan semula Orang Asli termasuk rumah, sekolah dan kemudahan asas lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.