5 ditahan selepas dikejar polis dari Gua Musang ke Raub

5 ditahan selepas dikejar polis dari Gua Musang ke Raub

Polis berkata dua lelaki tempatan berperanan sebagai pengangkut migran yang dibayar untuk membawa warga asing dari Kelantan ke Kuala Lumpur.

handcuff
Polis menahan dua lelaki tempatan dan tiga wanita warga Indonesia, selain menemui 34 biji pil disyaki yaba dan satu peket syabu dalam kereta dinaiki suspek. (Gambar Rawpixel)
KUANTAN:
Lima individu, termasuk dua lelaki tempatan ditahan selepas dikejar polis dari Gua Musang dan berakhir di depan Balai Polis Dong, Raub.

Ketua Polis Raub, Mohd Shahril Abdul Rahman, berkata dalam kejadian 10.15 pagi Jumaat lalu, pasukan peronda IPD Gua Musang mengesan sebuah Proton Preve dinaiki lima individu di Jalan Tanah Putih, Gua Musang, Kelantan.

Ketika diminta memberhentikan kereta, katanya, pemandu enggan berbuat demikian dan memecut sebelum terbabas di depan Balai Polis Dong selepas melanggar tiang lampu isyarat serta sebuah kenderaan lain.

Beliau berkata, terdapat tiga wanita warga Indonesia tanpa dokumen sah bersama 34 biji pil disyaki yaba dan satu peket dipercayai syabu dalam kenderaan itu.

“Siasatan awal mendapati dua lelaki tempatan berperanan sebagai pengangkut atau transporter migran yang menerima bayaran bagi membawa warga asing dari Kelantan ke Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurutnya, siasatan lanjut turut mendapati nombor pendaftaran kereta itu palsu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.