
Katanya, hasil bedah siasat oleh pakar perunding kanan forensik Hospital Kuala Lumpur hari ini juga tidak menemui sebarang kecederaan fizikal.
“Pemeriksaan ke atas tubuh badan si mati juga dilakukan dengan disaksikan waris dan ahli keluarga si mati,” katanya dalam kenyataan.
Oleh itu, Arjunaidi berkata, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan kertas siasatan akan diserahkan kepada timbalan pendakwa raya dengan cadangan inkues diadakan.
Terdahulu, Arjunaidi dilaporkan berkata, Sivabalan hadir untuk urusan dokumentasi berhubung waran tangkap yang dikeluarkan terhadapnya, bukannya bagi tujuan siasatan.
Katanya, Sivabalan bersetuju ke IPD Gombak untuk dokumentasi dan proses berikutnya, oleh itu dia dibawa dari sebuah kilang kira-kira 11.20 pagi tanpa digari kerana memberi kerjasama penuh kepada polis sepanjang perjalanan.
Bagaimanpun, katanya, Sivabalan tiba-tiba mengalami sesak nafas setibanya di IPD Gombak pada 11.40 pagi.
“Ketika kejadian, lelaki ini masih bernafas apabila pasukan dari Hospital Selayang tiba untuk memberikan bantuan kecemasan sebelum dilaporkan meninggal dunia,” katanya dipetik Utusan Malaysia semalam.
Arjunaidi berkata, keluarga Sivabalan memaklumkan lelaki itu mempunyai sejarah penyakit jantung dan sesak nafas.