Kenapa J-KOM tak diguna untuk pertingkat kesedaran kesihatan mental, soal Ahli Parlimen

Kenapa J-KOM tak diguna untuk pertingkat kesedaran kesihatan mental, soal Ahli Parlimen

Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto berkata, lebih ramai orang kini menghadapi masalah kesihatan emosi dan mental dan mungkin menghadapi cabaran lebih besar selepas PKP ketiga sejak 12 Mei.

Kasthuri Patto berkata sesiapa yang cuba membunuh diri dan terselamat tidak sepatutnya dirujuk kepada polis tetapi perlu dihantar untuk rawatan dan penjagaan.
PETALING JAYA:
Kerajaan diminta menjelaskan peranan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) dalam menangani masalah kesihatan mental semasa krisis Covid-19.

Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto berkata, jabatan itu, yang menggantikan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), diperuntukkan RM40 juta untuk menyebarkan maklumat.

“Bukankah J-Kom harus memberi kesedaran mengenai masalah mental dan kaunseling menerusi pelbagai medium? Saya tak nampak pun, yang saya nampak di media adalah Befrienders selepas kejadian,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas kejadian terbaru di mana seorang wanita maut selepas terjun dari tingkat 4 pusat beli-belah 1Utama di Bandar Utama pada Rabu lalu, di mana polis menolak kemungkinan berlaku sebarang jenayah.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah sebelum ini berkata J-Kom tidak akan digunakan sebagai alat propaganda politik tetapi untuk menyebarkan maklumat semasa Covid-19.

Kasthuri berkata, lebih ramai orang kini menghadapi masalah kesihatan emosi dan mental dan mungkin berdepan cabaran lebih besar selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) ketiga sejak 12 Mei.

PKP pertama adalah pada Mac tahun lalu dan yang kedua pada Jan tahun ini.

Menghukum pelaku

Kasthuri Patto.

Ahli Parlimen DAP itu berkata, kerajaan tidak boleh menganggap bunuh diri sebagai satu jenayah.

“Mana-mana orang yang cuba membunuh diri dan terselamat selalu dirujuk kepada polis. Bukankah mereka harus dihantar ke hospital terlebih dahulu untuk rawatan dan penjagaan?

“Mereka memerlukan pemeriksaan kesihatan perubatan dan keadaan minda mereka,” katanya, sambil menambah cubaan bunuh diri adalah satu bentuk rayuan meminta pertolongan dan bukan jenayah.

Kasthuri turut meminta statistik terkini mereka yang telah melakukan dan cuba membunuh diri sejak tahun lalu.

“Adakah kurangnya perhatian disebabkan jumlah yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2021,” katanya, sambil menambah terdapat pengurangan dari RM344 juta menjadi RM313 juta bagi masalah kesihatan mental psikiatri.

Beliau juga turut melontarkan persoalan mengenai rancangan darurat untuk meletakkan isu bunuh diri sebagai agenda penting dan sejauh mana ia akan ditangani dalam mesyuarat Jemaah Menteri akan datang.

Pakar psikiatri sebelum ini berkata lebih banyak masalah kesihatan mental dijangka berlaku semasa krisis Covid-19 kerana orang ramai bimbang tentang kebankrapan, kehilangan pekerjaan dan pemotongan gaji.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.