
Disoal apa “aktiviti” yang dimaksudkan, Amiruddin berkata kepada FMT: “Itu kena tanya JPPM sendiri.”
Surat bertarikh 10 Mei itu ditandatangani oleh seorang individu bernama Syafiee Marsidi.
Dalam kenyataan, Amiruddin mempersoalkan asas untuk amaran keras berkenaan, dengan berkata, Pejuang sentiasa mematuhi undang-undang sejak mula memohon pendaftaran dan berusaha mendapat kelulusan penubuhan.
Beliau berkata, memandangkan tiada sebarang jawapan daripada JPPM berhubung permohonan untuk mendapatkan kelulusan mahupun justifikasi yang sah melalui lunas undang-undang terhadap rayuan, sukar bagi pihak jawatankuasa penaja mengawal selia orang awam yang berminat menyertai Pejuang daripada melakukan sebarang aktiviti, termasuk yang melibatkan masyarakat.
“Persoalan yang harus dijawab pihak JPPM adalah apakah sumber makluman yang didakwa tersebut dan ianya tiba-tiba dibangkitkan kini, sedangkan umum sedia maklum bahawa rayuan terhadap pendaftaran telah diserahkan sekian lama kepada Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin yang mana langsung tidak diendahkan rayuan tersebut,” katanya dalam kenyataan.
“Persoalan lain yang harus dijawab pihak JPPM dan Menteri Dalam Negeri adalah apa lagi alasan yang hendak digunakan bagi mengelak daripada meluluskan pendaftaran Pejuang?
“Semua syarat-syarat yang telah dimaklumkan kepada Urus Setia Pejuang oleh JPPM dan Bahagian Dasar, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah pun dipenuhi oleh Pejuang.
“Jika kelulusan diberikan segera, maka tidak timbul masalah penggunaan nama dan logo parti oleh ahlinya.”
Tambah beliau, Pejuang menyerahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan seadilnya pada 31 Mei, iaitu ketika tuntutannya untuk memaksa Menteri Dalam Negeri membuat keputusan berkenaan permohonan pendaftarannya sebagai parti politik akan didengar.
Pejuang mengemukakan rayuan kepada Hamzah selepas JPPM menolak permohonannya pada 6 Jan. Parti tersebut kemudian memfailkan cabaran untuk memaksa Hamzah dan JPPM membuat keputusan sama ada ia boleh didaftarkan.
Dalam afidavit sokongannya, Amiruddin berkata ketiadaan tindakan Hamzah adalah cubaan untuk menolak hak perlembagaan Pejuang bertanding dalam pilihan raya umum menggunakan logo sendiri.
Selain Pejuang, JPPM telah menolak permohonan pendaftaran MUDA, yang diketuai oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.