
Perkara itu diputuskan dalam sidang meja bulat kedua gabungan itu yang diadakan hari ini.
“Mesyuarat hari ini mengambil ketetapan untuk menganjurkan Kongres Nasional Ikatan Prihatin Rakyat pada awal 2026 bagi menegaskan pendirian IPR dalam menangani isu-isu rakyat dan menyelamatkan Malaysia dari terus terhumban dan tercicir dalam persaingan rantau dan global.
“Sekretariat IPR ditubuhkan untuk melihat konsep dan semua aspek kehidupan masyarakat untuk dibincangkan dalam kongres ini,” katanya dalam kenyataan.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh 11 ketua parti terdiri daripada Bersatu; PAS; Gerakan; Muda; Berjasa; Pejuang; Putra; Parti Rakyat India Malaysia (MIPP); Parti Kemajuan Malaysia (MAP); Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman); dan Parti Bersepakat Untuk Hak Rakyat Malaysia (Urimai).
Pada sidang meja bulat hari ini, gabungan itu membincangkan pelbagai isu utama yang didakwa gagal ditangani oleh kerajaan, termasuk Belanjawan 2026, RUU Pembaharuan Semula Bandar, Akta Perolehan, isu keselamatan di sekolah, serta krisis kemanusiaan di Gaza.
Selain itu IPR turut berpendirian tegas bahawa kerajaan harus membatalkan undangan kepada Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk menghadiri Sidang Kemuncak Asean hujung bulan ini, memandangkan Trump ialah sekutu utama jenayah genosid terhadap rakyat Palestin.
“Hubungan ekonomi di antara Malaysia dan AS tidak boleh dijadikan alasan untuk menerima Trump sebagai tetamu negara di pentas Asean yang merupakan blok negara-negara yang sentiasa mendukung prinsip negara hukum dan memelihara keselamatan dan nyawa manusia,” katanya.
IPR turut mendukung usaha rakyat Malaysia yang menyertai pelayaran Global Sumud Flotilla (GSF) untuk membawa mesej perdamaian dan membawa bekalan makanan, perubatan bagi rakyat Gaza.
Selain itu, berkaitan isu keselamatan anak-anak di sekolah, melibatkan kes buli dan keganasan seperti rogol dan bunuh, IPR menggesa Kementerian Pendidikan untuk merombak semula sistem pendidikan.
“Sekolah ialah tempat yang paling selamat untuk menimba ilmu dan juga membentuk generasi yang memiliki akhlak yang mulia dan nilai hormat yang tinggi,” katanya.
“(Selain itu) IPR mendesak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk mengambil langkah-langkah yang lebih berkesan bagi mengawal penularan bahan-bahan yang berunsur jenayah, keganasan dan buli dalam media sosial.”