
Ketua Polis Daerah Tawau Peter Umbuas berkata lelaki berumur 30 tahun dan bekerja sebagai polis bantuan di sebuah syarikat di Selangor itu ditahan pada 8.20 pagi.
“Lelaki bersama isteri dan dua anaknya dari Semporna itu tiba di Lapangan Terbang Tawau pada 7 pagi untuk menaiki penerbangan ke Kuala Lumpur, namun terpaksa menunggu lama.
“Ketika staf di kaunter melakukan pemeriksaan barang dalam beg, lelaki itu dengan lantang menyebut ‘ada bom’ sehingga didengari kakitangan di kaunter daftar masuk dan orang lain,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Peter berkata sepasukan Unit Pemusnah Bom kemudian menjalankan pemeriksaan terhadap beg itu dan hanya menemui bungkusan makanan di dalamnya.
Katanya lelaki terbabit sudah dibebaskan dengan jaminan polis hari ini selepas 24 jam ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.