SOP ujian saringan bukan untuk sekat pergerakan pekerja khidmat perlu

SOP ujian saringan bukan untuk sekat pergerakan pekerja khidmat perlu

Sebaliknya, ia sebagai langkah pencegahan bagi mengelakkan penularan Covid-19 kepada keluarga mereka dan seterusnya masyarakat.

Dr Annuar Rapaee berkata, ujian saringan bagi pekerja sektor perkhidmatan perlu yang kerap melakukan perjalanan rentas daerah hanya perlu dibuat setiap dua minggu.
SIBU:
Prosedur operasi standard (SOP) yang mewajibkan pekerja sektor perkhidmatan perlu, menjalani ujian saringan RT-PCR untuk merentas daerah bukan bertujuan untuk menyekat pergerakan mereka, kata Menteri Muda Kesihatan Awam dan Perumahan Sarawak Dr Annuar Rapaee.

Sebaliknya, menurut beliau, ia sebagai langkah pencegahan bagi mengelakkan penularan Covid-19 kepada keluarga mereka dan seterusnya masyarakat.

“Mereka ini berisiko tinggi kerana kerap ke kawasan lain di Sarawak dan kita tidak mahu mereka membawa Covid-19 dan menjangkiti keluarga mereka dan seterusnya menular dalam kalangan masyarakat,” kata beliau.

Beliau berkata demikian semasa penstriman langsung di laman Facebook beliau berkaitan perkembangan terkini Covid-19 di daerah Sibu malam tadi.

Dr Annuar Rapaee

Annuar menjelaskan, ujian saringan itu hanya dikenakan kepada pekerja sektor perkhidmatan perlu yang kerap melakukan perjalanan rentas daerah dan ia dilakukan setiap dua minggu bagi memastikan mereka tidak dijangkiti Covid-19.

Beliau menyelar sesetengah pihak kerana memutarbelitkan perkara tersebut dengan menyatakan ujian saringan itu perlu dibuat setiap kali permit rentas daerah dimohon.

“Ujian saringan itu perlu dilakukan setiap dua minggu bagi mereka yang kerap rentas daerah, bukan setiap kali bila mahu rentas daerah.

“Jangan timbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat. Kalau tidak faham tanya dulu. Mohon lebih bertanggungjawab,” kata beliau.

Annuar, yang juga penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JPB) Bahagian Sibu berkata, sebanyak 55 permit rentas daerah dimohon di Balai Polis Sentral Sibu semalam dan hanya tiga sahaja permohonan yang ditolak.

Daripada jumlah tersebut, tiga permohonan adalah untuk urusan rasmi, khidmat perlu (12), hal kematian (dua), keluarga sakit (10), lain-lain (22) dan rawatan kesihatan (enam).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.