
Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming dalam satu kenyataan berkata, sidang media membabitkan Perdana Menteri bersama menteri bertanggungjawab di setiap kementerian yang terbabit jika PKP penuh dilaksanakan adalah perlu kerana spekulasi mengenainya semakin hangat diperkatakan ketika ini.
“Mari kita elakkan situasi sidang media ‘one man show’, kemudian diikuti kenyataan ‘U-turn’ oleh menteri lain kerana tiada komunikasi antara satu sama lain.
“Mengadakan sidang media bersama Jemaah Menteri akan meyakinkan rakyat bahawa kerajaan Perikatan Nasional berupaya mengekang penularan Covid-19,” kata beliau, sambil menambah, sidang media boleh dilakukan secara fizikal atau dalam talian.
Beliau turut menggariskan lima persoalan yang perlu dijawab Jemaah Menteri dalam sidang media itu.
(i) Apakah rancangan untuk ujian saringan berkelompok dan mengesan kes positif ketika PKP diadakan? Berapa lama kita perlu asingkan dan beri sokongan kepada individu yang dikesan positif ketika saringan berkenaan?
(ii) Apakah garis masa untuk kelulusan oleh pihak berkuasa yang berkaitan bagi vaksin Sputnik dari Russia dan Cansino? Apakah maklumat atau dokumen yang diperlukan untuk menilai keberkesanan vaksin ini?
(iii) Apakah perancangan negara untuk mengawal penularan Covid-19 di sektor perkilangan yang mencetuskan hampir separuh jumlah kluster ketika ini? Apakah jenis penempatan yang perlu ditukar terutama bagi pekerja asing yang duduk di dalam kawasan kilang?
(iv) Apakah rancangan untuk mencegah wabak ini di penjara dan pusat tahanan? Adakah terdapat perancangan untuk memberi vaksin kepada tahanan dan pegawai penjara dalam waktu terdekat?
(v) Bagaimana bantuan kewangan dapat disasarkan kepada mereka yang paling terkesan ekoran PKP penuh, antaranya peniaga kecil, sektor peruncitan dan sektor pelancongan? Adakah subsidi gaji akan ditawarkan kepada syarikat dalam beberapa sektor ini?
Menteri Kesihatan Dr Adham Baba baru-baru ini berkata, pihaknya dalam perancangan untuk mempertimbangkan PKP secara menyeluruh di Selangor jika jangkitan harian Covid-19 di negeri itu tidak menunjukkan penurunan.
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari turut menegaskan negeri berkenaan tidak menolak PKP secara menyeluruh bagi membendung penularan Covid-19.
Sebanyak 46 kematian dan 6,075 kes baharu Covid-19 dicatatkan di seluruh negara semalam, rekod tertinggi jangkitan harian sejak wabak melanda negara tahun lalu.
Selangor kekal menjadi negeri yang melaporkan bilangan kes harian positif Covid-19 tertinggi hampir setiap hari dengan merekodkan 2,251 kes baharu semalam. Setakat ini jumlah kumulatif jangkitan bagi negeri itu adalah sebanyak 159,305 kes.