
Arifai berkata, artikel itu memberikan gambaran salah terhadapnya seolah-olah beliau dan polis bertanggungjawab terhadap kematian A Ganapathy.
Jurucakap Citizens Against Enforced Disappearances memberitahu FMT, penting untuk media mewakili pandangan umum dan sentimen terhadap isu sebegitu.
“Sejak sedekad lalu, banyak kematian dalam tahanan polis dan ramai hakim mendapati polis bertanggungjawab ke atas banyak kematian itu.
“Namun, kita boleh mengira jumlah polis yang dihukum atas penglibatan mereka.”
Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah berkata, kebebasan media ialah kayu ukur utama demokrasi negara, dan usaha menapis maklumat akan menghalang dan menyekat keupayaan masyarakat membuat penilaian jelas mengenai isu penting.
“Wartawan membantu menyampaikan berita kepada kami yang menyentuh keprihatinan kami tentang bagaimana kerajaan beroperasi, dan membangkitkan isu yang boleh dibincangkan secara umum.
“Ancaman sedemikian yang datang daripada seorang pegawai kanan polis terhadap media tidak sepatutnya berlaku kerana ia boleh dilihat sebagai cubaan menggugat kebebasan media.
“Nampaknya, ia digunakan untuk melemahkan kebebasan media melalui saman fitnah yang datang dengan ganti rugi berat dan penggunaan undang-undang drakonian.”
Beliau turut meminta Arifai segera menghentikan tindakan undang-undang terhadap FMT, dan gangguan terhadap media Malaysia berakhir.
Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang senada, mempersoalkan sama ada keutamaan polis betul kerana isu kematian Ganapathy adalah masalah lebih mendesak.
“Secara logik dan wajar (Ketua Polis Gombak) harus mengarahkan semua fokus dan usaha untuk menangani tuduhan terhadap pasukan polis.
“Saya tertanya-tanya sama ada Ketua Polis Negara yang baharu menyokong tindakan salah seorang pegawainya? Adakah ini petanda kebebasan media lebih ketat ketika pemerintahannya? ”
Peguam kanan Bala Mahesan berkata, ancaman tindakan undang-undang yang konsisten terhadap media kini “menjadi jenaka”.
“Sebagai pegawai kanan polis, beliau harus berdiam diri, membuat laporan polis dan biar polis menyiasat,” katanya mengenai dakwaan Arifai terhadap media.