Ketua kesihatan Negeri Sembilan mohon maaf pada pesakit dialisis dinafikan vaksin

Ketua kesihatan Negeri Sembilan mohon maaf pada pesakit dialisis dinafikan vaksin

Dr Harlina Abdul Rashid berkata, ia salah untuk meminta Satwant Singh Dhaliwal , yang tinggal di Tampin dan mendapatkan dialisisnya di Pulau Sebang tiga kali seminggu, mendapatkan vaksin di hospital sejauh 37km.

Pengkritik sukan, Satwant Singh Dhaliwal (kanan), yang bergambar dengan Menteri Belia dan Sukan, Reezal Merican Naina Merican, disahkan sebagai OKU dengan masalah penglihatan.
PETALING JAYA:
Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan memohon maaf kepada seorang penulis sukan kelainan upaya yang dinafikan vaksin Covid-19 di sebuah pusat di Tampin kerana beliau ialah pesakit dialisis.

Pengarahnya, Dr Harlina Abdul Rashid kesal kakitangan di pusat vaksinasi di Dewan Perdana membuat kesilapan dengan menolak Satwant Singh Dhaliwal pada Selasa.

Katanya, Satwant sepatutnya dimaklumkan pesakit dialisis di negeri itu akan divaksin di hospital kerajaan, sebelum beliau ke pusat itu untuk janji temu MySejahtera.

Beliau berkata, ia salah untuk meminta Satwant, yang tinggal di Tampin dan menjalani dialisis di Pulau Sebang tiga kali seminggu, bagi mendapatkan vaksin di Hospital Melaka, sejauh 37km.

“Saya sudah memberi arahan untuk beliau divaksin di Hospital Tampin pada tarikh paling awal.”

Satwant lega dengan tindakan segera Harlina kerana beliau menerima notifikasi mengejutkan melalui MySejahtera Isnin lalu yang beliau dikeluarkan daripada program vaksinasi.

Menurut notifikasi MySejahtera, disebabkan beliau tidak dapat menghadiri janji temu untuk dos pertama pada Selasa dan memerlukan penilaian pravaksinasi, “anda akan dihubungi bagi diberikan peluang untuk didaftarkan semula dalam program vaksinasi pada tarikh akan datang”.

“Mengarut! Saya ada di sana, tetapi tidak dibenarkan mengambil vaksin,” kata Satwant, yang menjalani dialisis empat jam mulai 4.30 pagi demi menghadiri janji temu vaksinasi pada 9 pagi.

Notifikasi MySejahtera kepada Satwant Singh Dhaliwal memaklumkan beliau akan diberikan peluang mendaftar semula bagi vaksinasi selepas ‘gagal’ mengambil dos pertama seperti dijadualkan.

Satwant menyuarakan kekecewaannya terhadap satu lagi notifikasi MySejahtera minggu lalu yang menyusul sembilan jam selepas vaksinasi yang dijadualkan di Dewan Perdana.

Susulan kelewatan notifikasi itu, beliau diberikan tarikh baharu pada Isnin “tanpa tanya saya bila akan jalani dialisis saya”.

Satwant, yang mempunyai masalah penglihatan, berkata “keputusan membingungkan” kakitangan di pusat itu menyusul selepas beliau menyerahkan keputusan ujian darah dan preskripsi ubat di kaunter hadapan.

“Saya beritahu mereka yang saya ialah OKU disahkan dengan masalah buta akibat pemindahan kornea dan pendarahan retina serta menjalani dialisis sejak enam tahun lalu.

“Mereka beritahu saya tidak boleh divaksin di pusat itu dan perlu ke Hospital Tampin, tetapi pengecualian boleh diberikan dengan persetujuan pegawai kesihatan daerah.

“Saya rasa letih selepas duduk di kerusi roda selama empat jam ketika dialisis dan memutuskan untuk pergi selepas menunggu selama 70 minit.”

Kira-kira 45 minit kemudian, seorang doktor menghubungi Satwant dan meminta beliau kembali ke pusat itu dalam masa 15 minit untuk divaksin.

Katanya, beliau meminta pengangkutan untuk ke pusat itu, yang terletak 800m dari rumahnya, kerana beliau sedang pulih daripada kesan selepas dialisis.

Tambahan, beliau memberitahu doktor itu yang beliau tidak dapat pergi ke sana dalam 15 minit kerana “memerlukan masa selama itu untuk mengunci rumah saya”.

“Sebaliknya, saya diberitahu saya akan menghadapi masalah dengan MySejahtera dan tidak dapat mengimbas (mendaftarkan) kehadiran saya di mana-mana.

“Sebagai individu yang sangat rentan dari segi klinikal, saya marah kerana mereka meninggalkan saya tanpa perlindungan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.