Sindiket judi ‘online’ berpangkalan di Kemboja tumpas

Sindiket judi ‘online’ berpangkalan di Kemboja tumpas

Polis menahan 10 warga tempatan terdiri daripada enam lelaki dan empat perempuan berusia antara 20 hingga 30 tahun.

Modus operandi sindiket itu ialah menjadikan rumah kediaman sebagai pusat transaksi pemindahan dan pengeluaran wang secara dalam talian. 
JOHOR BAHRU:
Satu sindiket perjudian dalam talian yang berpangkalan di Kemboja hanya sempat beroperasi selama dua bulan, sebelum pusat panggilannya di Johor Jaya diserbu polis semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Mohd Sohaimi Ishak, berkata dalam serbuan 6.30 petang itu, pihaknya menahan 10 warga tempatan terdiri daripada enam lelaki dan empat perempuan, berusia antara 20 hingga 30 tahun.

Turut dirampas dalam serbuan itu 11 unit komputer, 46 telefon bimbit pelbagai jenama, satu fail dokumen disyaki rekod perjudian, 143 keping kad sim, satu modem dan penghala internet serta 14 keping kad ATM pelbagai bank.

“Modus operandi sindiket ini ialah menjadikan rumah kediaman sebagai pusat transaksi pemindahan dan pengeluaran wang secara dalam talian.

“Anggaran transaksi sehari adalah antara RM50,000 hingga RM100,000 dengan Malaysia, Singapura dan Hong Kong adalah pusat aktiviti pelaburan (perjudian) sindiket itu,” katanya dalam kenyataan.

Sohaimi berkata, semua suspek direman tiga hari bermula hari ini hingga 21 Mei dan kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.