
Pengerusi Mohd Fared Mohd Khalid berkata, mereka akan dilepaskan hari ini sementara menunggu keputusan sama ada akan dituduh atau tidak.
“Setakat pagi ini, hanya tiga yang baru ditahan baru dibawa untuk mendapatkan perintah reman. Kalau ada yang ditahan semalam tetapi masih belum dibawa ke mahkamah pada hari ni, kita tidak tahu, sebab hanya tiga individu sahaja dikemukakan untuk reman pagi ini,” katanya kepada FMT.
Semalam, Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata, tujuh lagi individu berusia 19 hingga 23 tahun ditahan reman tiga hari berkait himpunan ‘kerajaan gagal’ di Parit Raja, Batu Pahat, baru-baru ini.
Beliau berkata, tujuh daripada 20 individu yang ditahan sebelum ini disambung reman tiga hari selepas tempoh tahanan reman dibenarkan sebelum ini tamat kelmarin.
Fared berkata, belum ada sebarang pertuduhan dibuat di Mahkamah Batu Pahat setakat hari ini dan pihaknya masih mengikuti rapat perkembangan kes berkenaan.
“Sekiranya ada di antara mereka yang akan didakwa, Sekretariat Peguam Pemuda Umno Johor akan terus menawar dan menyediakan khidmat guaman percuma, yakinlah kepada kredibiliti polis dalam membuat siasatan yang telus, yakin jugalah kita kepada sistem kehakiman dan keadilan untuk semua pihak,” tambah beliau.
Beliau turut mengingatkan kepada mana-mana pihak untuk berhenti menggelarkan mereka yang ditahan pihak berkuasa itu sebagai ‘perusuh’.
“Mana-mana pihak yang menggelar mereka yang ditahan ini sebagai ‘perusuh’, hormatilah hak mereka kerana siasatan masih dijalankan,” kata beliau.
Khamis lalu, klip video dan gambar himpunan membabitkan pembakaran suar dan kain rentang “kerajaan gagal” di Parit Raja, Batu Pahat, tular di media sosial.
Seramai 20 penduduk tempatan berusia 16 hingga 28 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung himpunan itu.
Mereka disiasat mengikut Seksyen 144, 269 dan 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Bahan Letupan, Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit serta Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan.
Tags kerajaan gagal, Batu Pahat, polis, Umno