Kes tembak di Sendayan, polis reman 2 lelaki

Kes tembak di Sendayan, polis reman 2 lelaki

Mereka direman lima hari bagi bantu siasatan kes lelaki maut ditembak dan ditetak ketika makan di sebuah restoran di Sendayan, Rabu lalu.

Alzafny Ahmad
Ketua Polis Negeri Sembilan, Alzafny Ahmad berkata dua lelaki itu ditahan bagi bantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes seorang lelaki yang maut selepas ditembak dan ditetak berhampiran sebuah restoran di Sendayan, Negeri Sembilan pada Rabu lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Alzafny Ahmad berkata kedua-dua lelaki berusia 32 dan 29 tahun itu direman lima hari bermula hari ini hingga 26 Nov ini, lapor Sinar Harian.

Katanya, perintah reman terhadap dua individu itu dikeluarkan Majistret Saifol Sayuti di Mahkamah Majistret Seremban pagi tadi.

“Penahanan mereka bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971,” katanya.

Dalam kejadian pada Rabu lalu itu, seorang lelaki berusia 33 tahun maut selepas diserang sekumpulan individu berpelitup muka bersenjatakan pistol dan parang.

Ketika kejadian mangsa dilaporkan sedang makan bersama keluarganya di sebuah restoran di Sendayan sebelum didatangi sekumpulan individu yang menaiki dua kereta.

Polis berkata mangsa juga mempunyai 42 rekod jenayah termasuk kes samun, mendatangkan kecederaan dan pecah rumah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.