2 pegawai SPRM dikaitkan ‘Geng Nicky’ dibebas

2 pegawai SPRM dikaitkan ‘Geng Nicky’ dibebas

Mereka dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu hasil siasatan polis.

Dua pegawai SPRM dan beberapa pegawai polis dikatakan bersekongkol dengan geng yang didalangi Nicky Liow.
KUALA LUMPUR:
Dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ditahan atas dakwaan mempunyai kaitan dengan ahli perniagaan buruan, Nicky Liow bulan lalu dibebaskan dengan jaminan polis malam tadi, kata peguam mereka, Zaid Malek.

Beliau berkata, jaminan itu ditawarkan sementara menunggu hasil siasatan polis.

“Mereka boleh didakwa atas kesalahan jenayah, jika pendakwa raya merasakan mereka mempunyai bukti mencukupi.”

Pada 5 Mei lalu, dua pegawai anti-rasuah berusia 41 dan 42 tahun memfailkan permohonan habeas corpus untuk pembebasan serta-merta daripada tahanan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) atas dakwaan mempunyai kaitan dengan kumpulan jenayah terancang, Geng Nicky.

Dua pegawai SPRM itu menamakan Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay, seorang lagi pegawai polis, Ketua Polis Negara, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia sebagai responden.

Zaid berkata, permohonan itu dijadualkan didengar 24 Mei ini.

“Saya akan mengambil arahan lanjut daripada mereka mengenai cara meneruskan permohonan selepas dibebaskan dengan jaminan polis.”

Dua lelaki itu berkata, penahanan mereka pada 21 dan 27 April lalu melanggar prosedur, undang-undang dan bukan di bawah bidang kuasa polis daerah Johor.

Mereka turut mendakwa siasatan itu meliputi pelbagai elemen dan responden tiada asas untuk menahan mereka di bawah SOSMA.

Mereka mendakwa tiada justifikasi untuk menggunakan SOSMA dan penahanan mereka tidak sah, melanggar undang-undang dan bersifat mala fide kerana bercanggah peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Pada 27 April lalu, Ayob Khan berkata, 10 pegawai polis dan dua pegawai SPRM ditahan serta disiasat atas penipuan dan pengubahan wang.

Pada 5 Mei lalu, semua pegawai polis itu dibebaskan dengan jaminan. Kebanyakan mereka turut memfailkan writ habeas untuk mencabar penahanan mereka.

Semuanya ditahan di Kuala Lumpur, sebelum dibawa ke Johor Bahru untuk siasatan.

Liow, 33, pengasas Winner Dynasty Group di Setiawalk Puchong, Selangor dikehendaki polis selepas 68 ahli gengnya ditahan dari 20 hingga 28 Mac lalu.

Menurut laporan baru-baru ini, siasatan menunjukkan Liow kali terakhir dilihat di Setiawalk pada 20 Mac lalu. Dia dipercayai masih bersembunyi dalam negara dan melarikan diri dengan beberapa beg wang tunai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.