
Ainal berkata, SPAN kini sedang melakukan siasatan berhubung perbuatan itu mengikut peruntukan Kaedah 7 (1) (j) Kaedah-Kaedah Industri Perkhidmatan Air (Permit) 2007.
“Berdasarkan ciri fizikal lori dipandu suspek, ia disyaki dioperasikan pemegang permit E yang diberi kebenaran oleh SPAN untuk menjalankan perkhidmatan nyah enap cemar dan semakan lanjut melalui sistem e-permit mengesahkan perkara tersebut.
“Sisa kumbahan itu sepatutnya dibuang di pusat rawatan enap cemar kendalian Indah Water Konsortium (IWK) atau mana-mana pusat enap cemar yang mempunyai lesen dari SPAN, tetapi syarikat berkenaan mengambil langkah mudah membuangnya ke dalam parit dan kawasan terlindung.
“Keterangan suspek dan pengurus syarikat berkenaan sudah diambil bagi siasatan lanjut. Jika memenuhi elemen kesalahan bawah Akta 655, SPAN tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang yang tegas terhadap pihak terbabit,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Sementara itu, beliau berkata SPAN berharap orang ramai dapat memberi kerjasama untuk memantau kegiatan tidak bertanggungjawab ini.
“Perbuatan mereka membuang enap cemar di kawasan tidak sepatutnya ini bukan saja tidak bertanggungjawab bahkan menyebabkan kacau ganggu termasuk bau busuk dan pencemaran aliran air hingga mengganggu orang awam,” katanya.