80% gangguan seksual di sekolah oleh guru, kata NGO

80% gangguan seksual di sekolah oleh guru, kata NGO

Awam gesa perubahan kurikulum, kod amalan di maktab perguruan supaya turut merangkumi kesedaran serta kepekaan jantina.

Segelintir pelajar dilaporkan mengalami lebih daripada satu bentuk pencabulan, termasuk dibuli, pemeriksaan haid dan gangguan seksual.
PETALING JAYA:
Sebanyak 79.4% daripada hampir 300 kes gangguan seksual di institusi pendidikan melibatkan pendidik dan pihak berkuasa sekolah, menurut kajian oleh All Women’s Action Society (Awam).

NGO itu berkata ia telah menganalisis 275 testimonial mengenai ‘pemeriksaan haid’ mengejut, gangguan seksual dan pembulian di sekolah yang dikongsikan dengan Awam selama 10 hari, bulan lalu.

“Seramai 311 pelaku disebut, dan daripada jumlah itu 247 adalah guru, guru agama dan warden,” kata Awam dalam kenyataan hari ini.

Berhubung pemeriksaan haid, katanya, perkara itu dilakukan dalam konteks “amalan yang telah dilihat sebagai biasa dan dipersetujui serta dilaksanakan guru, ustaz serta ustazah.”

Analisis itu turut mendapati 125 kes melibatkan pemeriksaan haid, 108 pembulian dan 88 gangguan seksual.

Walaupun tidak semua mangsa mendedahkan usia mereka ketika kejadian, Awam berkata 99% daripadanya melibatkan kanak-kanak.

Ramai daripadanya dilaporkan mengalami lebih daripada satu bentuk pencabulan, yang berlaku di sekolah rendah, menengah serta asrama, selain kolej, pusat jagaan dan kem sekolah.

“Subkumpulan usia antara 13 hingga 15 tahun, ketika pelajar khususnya perempuan mengalami perubahan akil baligh, didapati tahap usia gangguan seksual dan pembulian paling banyak berlaku,” katanya.

Tambahnya, 6.2% melibatkan lelaki yang mengalami pencabulan seperti puting dicubit, bahagian sulit diraba, selain dibogelkan orang yang dilihat berkuasa bertujuan mencari tanda-tanda telah baligh.

Awam menggesa Kementerian Pendidikan segera mencari penyelesaian jangka panjang untuk memastikan institusi pendidkan di negara ini kekal sebagai ruangan yang selamat.

Ia turut menggesa kementerian berganding bahu dengan organisasi awam untuk melaksanakan “latihan pemekaan jantina” dalam kalangan pihak berkuasa sekolah di seluruh negara, selain bekerjasama dengan Lembaga Kaunselor Malaysia (LKM) bagi memperbaiki perkhidmatan kaunseling di sekolah-sekolah.

LKM adalah badan berkanun di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Kumpulan itu turut menggesa perubahan kurikulum serta kod amalan di maktab perguruan supaya turut merangkumi pemekaan dan kesedaran mengenai jantina.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.