
Berdasarkan perkongsian di Twitter, keadaan digambarkan agak bercelaru termasuk penerima vaksin tidak tahu di mana untuk beratur disebabkan barisan yang “melingkar” di sekitar stadium itu.
Segelintir orang juga menemani ibu bapa yang berusia untuk menerima vaksin berkenaan, seterusnya menyukarkan penjarakan sosial.
Kejadian di Stadium Titiwangsa itu hanya dua hari selepas proses suntikan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur turut dikritik kerana penyelarasan dan komunikasi lemah ketika 16,200 orang menerima vaksin AstraZeneca.
Stadium Titiwangsa antara lokasi digunakan untuk suntikan vaksin Pfizer atau Sinovac bagi penerima di bawah Fasa Kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
Fasa Kedua melibatkan golongan tua dan berisiko tinggi seperti mereka yang kurang upaya serta yang mempunyai penyakit kronik.
Beberapa pengguna Twitter termasuk Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil juga telah “tag” Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) Covid-19 dan Menteri Penyelaras, Khairy Jamaluddin dalam usaha menarik perhatian mereka terhadap masalah itu.

Seorang pengguna dikenali sebagai “Willie Yeoh” mempertikaikan kekurangan pelaksanaan SOP, dengan mendakwa tiada sukarelawan yang ditugaskan untuk membantu penerima vaksin.
“Begitu banyak barisan di sini, tidak tahu mana satu yang betul. Di manakah sukarelawan?” soalnya, dengan menambah akhirnya menerima vaksin selepas menunggu selama tiga jam.
Sementara itu, “J.K.Chahil” menyifatkan keadaan di Stadium Titiwangsa sebagai “kucar-kacir”.
Seorang lagi warganet yang menggunakan nama “catamy” berkata, warga emas terpaksa berdiri lama dalam barisan kerana tiada kerusi disediakan untuk mereka yang menunggu giliran.
“Ada yang tiada pilihan dan terpaksa duduk atas lantai.
“Kami masih beratur pada jam 12.28 tengah hari walaupun waktu janji temu kami adalah 12 tengah hari. Orang tua tidak patut dibiarkan berdiri selama ini.”
Beliau berharap keadaan akan lebih baik ketika kumpulan itu datang untuk suntikan kali kedua kelak.