Ibu mengandung, menyusu disyor ambil Pfizer

Ibu mengandung, menyusu disyor ambil Pfizer

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin berkata ia adalah sesuai untuk ibu mengandung antara 14 hingga 33 minggu.

Khairy Jamaluddin berkata golongan ibu mengandung dan menyusu yang ragu-ragu mengenai jenis vaksin diambil perlu mendapatkan nasihat doktor. (Gambar AP)
PUTRAJAYA:
Wanita mengandung dan ibu menyusu dinasihat untuk mendapatkan vaksin Pfizer, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin.

Dalam sidang media, beliau berkata vaksin Sinovac dan AstraZeneca tidak disyorkan untuk golongan terbabit buat masa ini, sambil menambah mereka yang ragu-ragu mengenai suntikan vaksin Covid-19 perlu berjumpa doktor.

Khairy berkata, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) sudah diarah untuk mengatur dan menyelaras dengan hospital serta pusat pakar perubatan ibu dan kanak-kanak untuk mengutamakan pengagihan vaksin Pfizer kepada ibu mengandung.

“Berdasarkan nasihat pakar Kementerian Kesihatan (KKM), vaksin Pfizer sesuai untuk ibu mengandung dengan usia kandungan antara 14 hingga 33 minggu, atau disyorkan ditangguh sehingga selepas kehamilan,” katanya.

Dalam pada itu, Khairy berkata sehingga kini CITF hanya meluluskan satu permohonan Pusat Pemberian Caksin (PPV) industri yang diberikan kepada kilang Pharmaniaga dan belum membuka PPV untuk industri buat masa ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, CITF sudah meluluskan satu permohonan bagi kilang yang akan menjadi projek perintis bagi PPV industri.

“Kita mendapat pertanyaan berkenaan vaksinasi untuk golongan industri yang ditimbulkan di media sosial dan lain-lain medium.

“Buat masa ini, kita belum membuka PPV untuk industri. Kilang Pharmaniaga sudah membeli vaksin sendiri untuk diberi kepada pekerja kilangnya,” katanya

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.