Berita palsu kompaun Raya, polis rekod keterangan pengurus syarikat

Berita palsu kompaun Raya, polis rekod keterangan pengurus syarikat

Ketua Polis Daerah Nilai, Mohd Fazley Ab Rahman, berkata gajet dipercayai digunakan dirampas dan lelaki itu dibebaskan dengan jaminan polis.

Polis menjelaskan, gambar yang tular itu menunjukkan pemeriksaan rumah ke rumah pada Hari Raya pertama di kawasan perumahan Nilai Impian. (Gambar Twitter)
SEREMBAN:
Polis mengambil keterangan seorang pengurus syarikat penerbitan buku, semalam bagi membantu siasatan berhubung penyebaran berita palsu mengenai pelaksanaan kompaun pelanggaran SOP Aidilfitri 2021 di Nilai Impian, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Nilai, Mohd Fazley Ab Rahman, berkata lelaki berumur 42 tahun yang juga pemilik akaun Twitter “No War But Class War” @ Icsmxms itu hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai, pada 9 pagi.

“Gajet dipercayai digunakan untuk memuat naik kenyataan fakta isu telah dirampas dan lelaki itu kemudian dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya dalam kenyataan.

Fazley berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No 2) 2021.

Beliau berkata, kertas siasatan berhubung kes itu akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam tempoh terdekat.

Sehubungan itu, Fazley menasihati orang ramai supaya berhati-hati dalam memuat naik kenyataan menerusi laman sosial masing-masing.

Pada 13 Mei lepas, pemilik akaun itu memuat naik status “Area Rumah Aku Nilai Impian. Tuan Rumah RM25K, Tetamu RM5K” menerusi laman Twitternya.

Polis kemudian memberi penjelasan bahawa gambar yang tular dalam media sosial itu menunjukkan pemeriksaan rumah ke rumah pada Hari Raya pertama di kawasan perumahan Nilai Impian.

Gambar itu telah disalah tafsir sebagai tindakan kompaun sebanyak RM30,000 kepada orang awam sedangkan perkara sebenar berlaku ialah polis melakukan tinjauan bersama pengamal media bagi melihat kadar pematuhan penduduk terhadap SOP Aidilfitri di kawasan berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.