
Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua di Surau Utama Istana Negara pada 7.30 malam, diiringi Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin.
Solat sunat hajat itu dipimpin oleh Penolong Pegawai Agama Istana Negara Mohd Zuhairee Mohd Yatim dan disertai 40 anggota jemaah yang terdiri daripada pegawai serta petugas Istana Negara.
Solat sunat berkenaan, selepas solat Maghrib berjemaah, dilaksanakan mengikut garis panduan ketat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) termasuklah penjarakan fizikal serta pemakaian pelitup muka ketika solat.
Terdahulu, Sultan Abdullah menitahkan masjid dan surau seluruh negara, serta rakyat di kediaman sendiri, untuk mengadakan solat sunat hajat dan doa selamat bagi memohon ihsan daripada Allah SWT untuk memelihara kesejahteraan rakyat Palestin daripada niat jahat rejim Israel.