Polis siasat ketua pengarah langgar SOP rasmi rumah terbuka Aidilfitri di UPM

Polis siasat ketua pengarah langgar SOP rasmi rumah terbuka Aidilfitri di UPM

Ketua pengarah pendidikan tinggi didakwa menyerah sumbangan Hari Raya kepada pelajar dan kakitangan UPM walaupun kerajaan tidak membenarkan majlis sosial diadakan sepanjang pelaksanaan PKP 3.0.

Tangkap layar laporan media yang mendakwa Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Husaini Omar melanggar SOP PKP kerana merasmikan majlis Hari Raya di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada Khamis. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Polis membuka kertas siasatan berhubung dakwaan bahawa Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Husaini Omar melanggar prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan (PKP) dengan merasmikan majlis Hari Raya Aidilfitri di Universiti Putra Malaysia (UPM), pada Khamis lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Serdang, Mohd Rosdi Daud berkata, siasatan dijalankan selepas pihaknya menerima laporan setelah satu artikel diterbitkan oleh sebuah portal berita berhubung insiden itu, semalam.

“Siasatan awal mendapati program itu turut membabitkan kehadiran mahasiswa dan pihak pengurusan universiti berkenaan.

“Difahamkan program itu dianjurkan sempena penyampaian sumbangan Hari Raya kepada mahasiswa, selain jamuan.

“Berdasarkan gambar yang dimuat naik, kelihatan kehadiran tetamu dan juga mahasiswa ke program berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, siasatan berhubung perkara itu dijalankan mengikut Peraturan 17 P.U (A) 225/2021 kerana melanggar SOP perintah kawalan pergerakan.

“Jika disabitkan kesalahan, kompaun sebanyak RM2,000 boleh dikenakan ke atas pengunjung dan RM10,000 terhadap penganjur.

“Kertas siasatan berhubung kejadian itu akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya dalam masa terdekat,” katanya.

Semalam, sebuah portal berita melaporkan bahawa Husaini didakwa melanggar SOP PKP apabila melancarkan program berkenaan Khamis lalu.

Sebelum ini, Majlis Keselamatan Negara (MKN) menetapkan bahawa perhimpunan rasmi atau tidak rasmi kerajaan serta swasta tidak dibenarkan sama sekali dalam tempoh pelaksanaan PKP.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.