
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Mohd Fadzil Ali berkata, pada mulanya, perbuatan itu dilihat sebagai tanggungjawab isteri untuk memberi sokongan moral kepada suami yang bertugas dengan menghantar juadah di pagi raya.
“Namun, kepentingan awam melebihi kepentingan individu dan polis tidak mahu perbuatan sedemikian dijadikan alasan oleh semua ahli keluarga petugas melawat mereka di lapangan pada hari raya ataupun hari biasa,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, satu kompaun telah dikeluarkan kepada isteri anggota tersebut di bawah Peraturan 17 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021 [P.U.(A) 225/2021] kerana melanggar SOP PKP dengan menziarah suami di SJR.
Tindakan itu menyusul gambar anggota polis itu bersalam dan menerima kuih raya daripada isteri serta tiga anaknya di SJR di Persiaran Selatan (hala keluar ke Dengkil) Putrajaya pada 1 Syawal lalu yang tular di media sosial.
Susulan itu, polis semalam dilaporkan berkata, hasil siasatan mendapati tiada pelanggaran SOP PKP oleh mana-mana pihak dalam kejadian itu.
Fadzil berkata, hasil siasatan lanjut mendapati anggota polis itu dan keluarganya tinggal dalam daerah Putrajaya dan isteri bersama tiga anaknya menaiki dua kereta berbeza untuk menyerahkan juadah raya kepada suaminya.
“Bagi dakwaan menaiki kenderaan melebihi had tiga orang untuk sebuah kenderaan, tiada kompaun yang dikeluarkan kerana mereka menaiki dua kenderaan berbeza.”
Beliau bagaimanapun memberi amaran tindakan akan diambil terhadap sesiapa saja yang melanggar SOP PKP, termasuk anggotanya sendiri.