Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) dalam kenyataan hari ini berkata, ramai yang diberi janji temu tiba ke WTCKL lebih awal daripada slot masa yang ditetapkan.
“Sebagai contoh, individu dengan janji temu pada 6 petang telah tiba seawal 2 petang,” katanya.
Selain itu, katanya, terdapat juga ramai individu yang “mencuba nasib” untuk mendapatkan vaksin secara “walk-in”, menambah kesesakan sedia ada.
Untuk memastikan keselamatan serta keselesaan semua pihak, selain sebagai langkah berjaga-jaga bagi membendung penularan Covid-19, CITF menasihatkan orang ramai agar tidak datang terlalu awal.
“Hanya tiba di PPV antara 15 sehingga 30 minit awal dari masa yang ditetapkan,” katanya.
CITF juga memberi peringatan agar orang ramai mengikuti arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa dan petugas, selain sentiasa bersabar dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
“Sentiasa amalkan penjarakan fizikal serta memakai pelitup muka sepanjang proses vaksinasi.
“Sila beredar daripada perkarangan WTCKL sejurus selepas menerima vaksin dan elakkan berada di kawasan PPV terutamanya di kawasan lobi bagi mengelakkan kesesakan,” tambahnya.
PPV WTCKL hari ini memulakan proses vaksinasi secara besar-besaran dengan jumlah janji temu sebanyak 8,100, bermula 9 pagi hingga 9 malam.
Terdahulu, FMT melaporkan, pengurusan, penyelarasan, dan komunikasi lemah menyebabkan proses vaksinasi di WTCKL hari ini bercelaru.
Dengan 16,200 orang dijadualkan divaksin di sini pada hujung minggu ini, kelihatan hanya sedikit persediaan dilakukan untuk menerima kehadiran orang ramai.
Tiada tanda di lantai untuk menunjukkan di mana penerima vaksin sepatutnya berdiri, dengan ramai yang tidak jelas sama ada mereka perlu beratur untuk memasuki satu-satunya pintu yang dibuka atau berjalan terus ke hadapan.
Penjarakan fizikal juga sukar diamalkan akibat kurang kejelasan.
Walaupun keadaan lebih baik di dalam bangunan, masih tidak jelas di mana penerima perlu tuju selepas masuk.
Walaupun ada pelekat di lantai dan papan tanda menunjukkan seseorang patut beratur di “stesen” berbeza, ia selalunya tidak diperhatikan petugas, yang meminta orang ramai dengan tempahan slot waktu tertentu untuk melangkaunya.
WTC adalah antara beberapa pusat vaksinasi di Lembah Klang yang dikhaskan bagi penerima vaksin AstraZeneca.