
Beliau berkata, Umno perlu sedar kedudukannya selepas hanya tinggal 26 kerusi Parlimen dan bukan lagi mengetuai pentadbiran Putrajaya secara mutlak.
“Kalau saya tengok ucapan daripada mula sampai giliran saya, saya merasakan dalam dewan ini kita seperti dalam keadaan berkuasa mutlak.
“Kita kena sedar, kita hanya tinggal 26 kerusi, kita juga kena sedar kita bukan lagi menerajui kerajaan ini,” katanya ketika berucap sempena Konvensyen 80 Tahun Umno di WTCKL.
Johari berkata, Umno juga perlu menerima hakikat pengundi Melayu kini mempunyai banyak pilihan, manakala imej dan integriti parti masih belum pulih sepenuhnya.
Katanya, landskap politik turut berubah dengan ketara, khususnya selepas pengundi muda dan pengguna media sosial menjadi faktor penting dalam pilihan raya.
Beliau berkata, sejarah panjang Umno termasuk perjuangan menentang Malayan Union, memerdekakan negara dan memerintah selama beberapa dekad tidak lagi cukup untuk dijadikan modal politik untuk menarik pengundi.
“Nostalgia sejarah yang kita ada sebagai parti sudah tidak lagi boleh dijadikan barang dagangan kepada kita,” katanya.
Johari berkata, sepanjang 80 tahun kewujudan Umno, parti itu melalui tiga fasa utama iaitu perjuangan kemerdekaan, zaman kegemilangan ketika menang pilihan raya berturut-turut dan fasa perkongsian kuasa selepas tidak lagi menjadi parti dominan.
Beliau berkata, kejatuhan Umno berpunca daripada beberapa faktor termasuk politik negara yang semakin kompetitif, konflik dalaman, skandal besar serta perubahan pemikiran masyarakat.
Menurutnya, konflik dalaman yang dibawa keluar daripada ruang parti, termasuk ke media sosial, hanya menjadikan perbalahan Umno sebagai tontonan pengundi.
Johari turut mengakui skandal besar yang melanda parti menyebabkan pengundi hilang kepercayaan terhadap kredibiliti dan integriti Umno.
“Parti kita ini rosak kerana kita berdepan dengan banyak skandal-skandal yang besar-besar.
“Kita bolehlah wayang-wayang sama-sama kita, tetapi pengundi di luar sana, ‘over the period of time’, dia jadi ‘lost trust’,” katanya.
Beliau berkata, pengundi hari ini lebih menilai isu seperti kos sara hidup, pekerjaan dan pemilikan rumah, selain mempunyai tahap toleransi rendah terhadap isu ketelusan dan kebertanggungjawaban.
Katanya, Umno perlu membina semula pasukan yang kuat, menerima kemasukan anak muda, dan bekerjasama secara strategik dalam kerajaan gabungan menjelang PRU16.
“Kalau kita boleh susun strategi ini dan kita bekerjasama dengan kerajaan dalam kerajaan gabungan ini sehingga PRU16, kita tunjuk kepada masyarakat umum bahawa kita boleh bekerja,” katanya.