Jangan keluar rumah, jadual semula vaksinasi, KJ beritahu kontak rapat Covid-19

Jangan keluar rumah, jadual semula vaksinasi, KJ beritahu kontak rapat Covid-19

Khairy Jamaluddin berkata, kehadiran mereka di pusat pemberian vaksin akan membawa risiko jangkitan kepada orang lain.

Khairy Jamaluddin meminta pesakit bawah siasatan dan kontak rapat pesakit Covid-19 tidak risau dengan janji temu vaksinasi kerana mereka boleh dijadualkan semula ke slot lain. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Individu berstatus pesakit bawah siasatan (PUI) serta kontak rapat pesakit Covid-19 dinasihatkan berada di rumah dan menjadualkan semua janji temu vaksinasi mereka.

Menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin berkata, kehadiran mereka di pusat pemberian vaksin (PPV) akan membawa risiko jangkitan kepada orang lain.

“Kita dapati ada beberapa kontak rapat datang (ke PPV). Mereka patut tak datang.

“Jangan risau dengan janji temu kerana mereka boleh hubungi kita untuk dijadualkan semula bagi mendapatkan suntikan,” katanya dalam video yang dimuat naik ke Twitter Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19.

Khairy berkata, kontak rapat perlu terus berada di rumah dan mengelakkan ke luar.

Sesetengah pengguna media sosial bagaimanapun berkata, aplikasi MySejahtera tidak membenarkan mereka membatalkan janji temu, manakala talian selalu sibuk.

Ada pula yang berkata, mereka tidak jelas dengan proses menjadualkan semula janji temu.

Seorang kontak rapat memberitahu FMT, beliau diminta membatalkan janji temu vaksinasi pada Isnin, selepas dimaklumkan pihak berkuasa dirinya ialah kontak rapat.

“Saya juga diberitahu saya tidak boleh menjadualkan semula janji temu saya kerana semua slot lain sudah penuh.

“Jadi, saya sama ada perlu tunggu giliran saya dalam program vaksinasi Covid-19 atau mendaftar untuk pusingan kedua program AstraZeneca.”

FMT cuba menghubungi Khairy untuk mengulas lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.